Shahidan Kassim
Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim akur dengan keputusan pihak Pendakwa Raya hendak meneruskan kes ke atasnya yang dituduh mencabul seorang gadis bawah umur.

Katanya, beliau berserah kepada Allah dan pada masa sama berharap dirinya tidak diaib serta dihina sehingga mahkamah membuat keputusan sama ada bersalah atau tidak.

“Pendakwa ingin teruskan kes ini itu adalah haknya. Saya akur, tetapi tolong hentikan mengaib dan menghina saya.

“Biar mahkamah (yang) putuskan. Saya tidak akan berhenti berbuat kebajikan. Saya serah (kes) kepada Allah,” katanya dipetik kenyataan yang dimuatnaik dalam akaun Facebooknya hari ini.

Hari ini Bernama melaporkan, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM25,000 oleh dua penjamin.

Anaknya, Ameer Shafiq dan menantu, Muhamad Lokman Abdul Rashid menjadi penjamin.

Hakim Mahkamah Sesyen Kangar, Johari Hassan membuat keputusan itu selepas mendengar alasan peguam bela, Dhalia Rohana Abdul Latiff.

Dalam hujahnya, Dhalia Rohana berkata, Shahidan yang merupakan bekas Menteri Besar Perlis juga mengetuai delegasi anggota-anggota Parlimen Malaysia ke persidangan antarabangsa dan beliau tidak mungkin melarikan diri atau sengaja tidak hadir untuk menghadapi pertuduhan kecuali menghadapi masalah kesihatan.

Mengikut kertas pertuduhan, Shahidan dituduh mencabul seorang gadis bawah umur berusia 15 tahun 11 bulan pada 21 Oktober lepas dalam kenderaan dinaikinya di Arau.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kanak-kanak 1972 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Sebelum itu Ketua Pendakwa Raya Perlis, Muhamad Nordin Ismail memohon mahkamah mengenakan ikat jamin yang tinggi kerana mengambil kira kes berprofail tinggi dan atas kepentingan umum.

Beliau juga memohon mahkamah menahan pasport antarabangsa tertuduh.

Shahidan yang hadir dengan berkot hitam dan bersongkok diiringi isterinya, Datin Seri Shamsiah Mohd Yassin kira-kira jam 8.20 pagi bersama 50 penyokongnya.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Januari depan untuk mendengar semula sebutan kes itu.

Sebaik sahaja Mahkamah membuat keputusan, Shahidan meminta izin untuk bercakap dan diberi kebenaran oleh Hakim.

Shahidan melahirkan rasa hairan mengapa Mahkamah mengeluarkan waran tangkap tanpa notis dan membuat pertuduhan tanpa memaklumkan kepada beliau atau peguamnya terlebih dahulu.

“Saya berdoa agar keadilan dan kebenaran ditegakkan..Allahuakbar,” katanya.