Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin

PUTRAJAYA – Cadangan mengenai pengharaman ketum akan dibawa ke kabinet kerana penggunaan tanaman itu didapati telah menimbulkan kesan buruk kepada masyarakat.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah tersebut perlu diambil bagi mengelakkan penggunaan bahan berkenaan menjadi tidak terkawal.

“Kalau Jawatankuasa Kabinet bersetuju dan kabinet memutuskan itu, maka langkah-langkah dapat dibuat untuk menentukan ia dikawal dan hukuman tertentu boleh dikenakan kepada mereka terlibat, perkara itu akan dimasukkan sama ada dalam Akta Racun 1952 atau Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Muhyiddin berkata, pihaknya memberi pandangan awal untuk cadangan pengharaman itu kerana bahan Mitraginin yang terkandung dalam pokok ketum adalah tersenarai dalam Jadual Ketiga Bahan Psikotropik Akta Racun 1952.

Katanya, walaupun tidak dikategorikan sebagai dadah berbahaya setakat ini, laporan yang dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan serta agensi penguatkuasaan lain menunjukkan ketum mendatangkan kesan yang berbahaya kepada pengguna selain dibimbangi akan digunakan secara lebih menyeluruh.

Muhyiddin hari ini menpengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-Undang Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Dalam mesyuarat itu isu berkaitan penggunaan ketum dibangkitkan dan cadangan pengharamannya ke Kabinet turut diambil.

Muhyiddin mendedahkan tanaman ketum di negara ini didapati dieksport ke Thailand sedangkan negara itu telah pun mengharamkan pengunaannya.

“Jangan Malaysia jadi pengeksport pula kerana kita bimbang berlaku kesan daripada penggunaan bahan ketum itu akan menjadi kesan yang buruk, jadi kita beri pandangan awal-awal lagi supaya jangan dibenarkan penanaman itu,” katanya.

Dalam pada itu Muhyiddin menegaskan penggunaan ketum dari sudut perubatan akan diserah kepada pihak Kementerian Kesihatan.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan agar tanaman berkenaan dikawal terlebih dahulu daripada terus berleluasa. – MalaysiaGazette