Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta untuk mempertimbangkan keputusan penetapan harga lantai getah kepada RM4 sekilogram, kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sebelum ini, menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian (Pas) itu, kerajaan telah menyatakan ketetapan untuk tidak menetapkan harga lantai getah sekerap kerana langkah itu akan membabitkan peruntukan kewangan yang tinggi.

Bagaimanapun, gusar dengan nasib pekebun kecil serta penoreh getah yang dikatakan mengalami tekanan dalam menagani kos sara hidup ketika ini.

Menurut Tuan Ibrahim, kerajaan yang selama ini sentiasa melaungkan komitmen dalam memperjuangkan nasib golongan ini getah ekoran kejatuhan harga komoditi itu ketika ini perlu mempertimbangkan cadangan berkenaan.

“Harga getah sekerap begitu rendah membuatkan golongan penoreh serta pekebun kecil sebenarnya sedang berhadapan waktu-waktu yang begitu sukar sejak akhir-akhir ini.

“Pengumuman kerajaan tidak bercadang untuk menetapkan harga lantai bagi getah sebenarnya menyebabkan kos sara hidup semakin menghimpit mereka. Pendapatan mereka juga merosot sehingga RM180 sekilogram.

“Rakyat semakin gelisah dengan keadaan ini, sangat tertekan, ada yang datang mengadu sehingga menangis mahu pertolongan daripada kerajaan. Saya mohon kepada kerajaan supaya bantu golongan ini yang begitu susah,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2019 petang tadi.

Sebelum ini, Menteri Industri Utama, Teresa Kok mendedahkan seandainya harga lantai getah sekerap ditetapkan kepada RM4 sekilogram berdasarkan pengeluaran pada tahun 2017 ia akan menyebabkan kerajaan berbelanja sehingga RM2.5 bilion.

Kata Teresa, seandainya harga getah asli dunia me­ngalami trend penurunan mendadak kerajaan perlu menggunakan sumber kewangan tinggi bagi menyokong cadangan tersebut.

Kerajaan sebelum ini pernah membuat pengumuman sedang mengkaji keberkesanan meningkatkan harga lantai getah yang ketika ini ditetapkan pada kadar RM2.20 sekilogram oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Tambah Tuan Ibrahim, walaupun kerajaan terpaksa membelanjakan RM2.5 bilion namun pada masa sama mampu memberi manfaat kepada 124,000 golongan pekebun kecil. –MalaysiaGazette