Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin.

PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik perlu meletak jawatan sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta-merta.

Langkah itu harus diambil kerana Kabinet dan parti (PPBM) sudah memutuskan beliau tidak lagi boleh memegang jawatan tersebut.

Perkara itu ditegaskan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan Maszlee harus berbuat demikian dengan secepat yang mungkin.

“Saya rasa keputusan sudah sangat jelas dibuat Kabinet dan saya fikir dia menjawab dengan kata dia perlukan lebih banyak masa.

“Saya harap dia akan faham mengenai keputusan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menpengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Penguatkuasaan Undang-Undang (JPU), Agensi Anti Dadah Kebangsaan di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, Maszlee perlu menghormati keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan dan juga parti serta perlu bertindak segera.

Muhyiddin diminta mengulas mengenai perkembangan terkini status Maszlee sebagai presiden di universiti berkenaan.

Dalam satu sidang media Sabtu lalu, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam mengelak daripada menjawab soalan yang diajukan oleh media berhubung perkara tersebut.

Maszlee menggesa media agar tidak menjadikan perkara berkenaan sebagai bahan berita sebaliknya, perlu menulis mengenai peristiwa bersejarah iaitu konvokesyen UIAM yang dihadirinya pada hari berkenaan.

Sebelum ini, Maszlee dilapor akan melepaskan jawatan sebagai Presiden UIAM dalam masa terdekat.

Keputusan itu dibuat selepas Maszlee mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk diberi nasihat daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Desas-desus itu dikuatkan lagi apabila Ketua Pemuda Parti Sosialis Malaysia, Khalid Ismath dalam hantaran terbaharu di laman sosialnya mendakwa Gerakan Mahasiswa 2018 berjaya meyakinkan Kabinet dalam usaha menyingkiran Maszlee.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, beliau tidak mengetahui keputusan Maszlee melantik Tan Sri Abdul Wahid Omar sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menurutnya, beliau tidak dimaklumkan sama ada keputusan yang dibuat oleh Maszlee  melantik bekas Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu dibincang terlebih dahulu dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya tidak pasti tentang perkara itu dan saya tidak boleh mengulas lebih banyak lagi mengenainya,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Maszlee elak jawab isu lepas jawatan Presiden UIAM

Maszlee calon ideal Presiden UIAM

Tolaklah jawatan Presiden UIAM, banyak kerja lagi kena buat, kata KJ