Setakat ini kem Mohamed Azmin membolot semua jawatan utama PKR
Setakat ini kem Mohamed Azmin membolot semua jawatan utama PKR

KUALA LUMPUR – Keputusan akhir tidak rasmi yang dikeluarkan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR hari ini, menunjukkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendahulu pencabarnya, Rafizi Ramli dengan majoriti 3,956 undi.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu mendapat 70,550 undi, manakala Rafizi yang merupakan bekas Ahli Parlimen Pandan mengumpul 66,594 undi.

Jawatan Ketua Wanita PKR pula didahului Haniza Talha yang mengumpul 29,111 undi, manakala lawannya, Fuziah Salleh mendapat 25,504 undi.

Bagi perebutan jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat pula, Dr Afif Bahardin mengumpul 16,672 undi, diikuti dua pencabarnya, Akmal Nasir (16,358 undi) dan Najwan Hilmi (3,309 undi)

Bagaimanapun, JPP@Pemilihan PKR menerusi status yang dimuatnaik dalam akaun Twitternya menyatakan, keputusan rasmi akan diumumkan selepas proses pengiraan undi di semua negeri selesai.

“Harap bersabar. Kita akan umumkan keputusan rasmi setelah semua undi diambil kira. Tidak elok sebarang tuduhan dilemparkan secara sembarangan kepada jawatankuasa ini,” menurut status itu.

Berdasarkan keputusan itu, rakit Mohamed Azmin menguasai keseluruhan barisan kepimpinan PKR bagi penggal ini. – MalaysiaGazette