Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof bercakap ketika sesi sidang media pada Majlis Penyampaian Hadiah Program Inovasi Usahawan Muda SME Bank Y-Biz Challenge 2018 di Hotel Primiera, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 12 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – “Desas desus kata menteri bakal digugurkan dari kabinet, saya tak pernah dengar pun.”

Itu reaksi spontan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Melaka, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berhubung berita tular kononnya dua anggota kabinet bakal disingkirkan dalam rombakan kabinet yang digembar-gembur sejak kebelakangan ini.

Diminta mengulas mengenai berita tular itu, beliau yang juga Menteri Pembangunan Usahawan berkata, ia terpulang kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk memuktamadkannya.

“Dari mana datangnya desas desus (dua menteri akan disingkir) ini? Saya tak dengar pun.

“Itu terpulang kepada kepimpinan sekarang, kalau nak perkemas pentadbiran kerajaan terpulang kepada perdana menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad).

“Kita tidak tahu sama ada ukuran itu betul atau sebaliknya, setakat ini baru enam bulan (pertadbiran kabinet).

“Kalau ada uar-uar mengatakan begitu dan kamu percayakannya, itulah dia.. tapi saya sendiri tidak tahu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan hadiah kepada Peserta Sekolah Menengah Vokasional Pertanian Teluk Intan yang muncul juara Pertandingan Program Usahawan Muda Y Biz Challenge 2018 anjuran SME Bank di sini hari ini.

Selaku johan, sekolah di Perak itu membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 beserta tiket penerbangan bernilai RM25,000 untuk menyertai pertandingan antarabangsa, piala pusingan dan sijil penyertaan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata adalah lebih baik perkara itu diserahkan kepada budi bicara Mahathir sendiri.

“Lebih baik serahkan kepada Tun Mahathir membuat keputusan (penyingkiran dua menteri),” tegasnya.

Berita kononnya Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun bakal disingkirkan dari kabinet tersebar sejak semalam.

Penyingkiran itu dikatakan bakal berlaku dalam rombakan kabinet yang dijangka dariĀ  Mahathir tidak lama lagi.- MalaysiaGazette