Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli. foto FAREEZ FADZIL, 11 MEI 2018
Rafizi Ramli. foto FAREEZ FADZIL, 11 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Calon Timbalan Presiden PKR,  Rafizi Ramli mendakwa keputusan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mengenai beberapa isu yang menimbulkan keraguan  mengenai ketelusan proses pemilihan tidak masuk akal.

Beliau tidak boleh menerima keputusan JPP dalam kenyataan pagi ini bahawa kejadian tablet dicerobohi dan sistem e-voting digodam di Cabang Julau tidak mempunyai apa-apa kesan kepada kewibawaan data.

“Ia adalah kenyataan yang 100 peratus bertentangan dengan kenyataan awal yang dikeluarkan oleh JPP sendiri.

“Kenyataan dan keputusan yang bertukar-tukar ini menyebabkan anggota parti semakin hilang keyakinan dengan kredibiliti keseluruhan proses pemilihan dan keputusannya.

“Saya tidak begitu kisah dengan keputusan pemilihan kerana ia satu proses dalaman, tetapi pengendalian pemilihan perlulah dibuat dengan setelus mungkin supaya anggota-anggota parti boleh menerima sepenuhnya keputusan,” ujar dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Rafizi, sepanjang pengendalian pemilihan, JPP bukan sahaja gagal menguruskan operasi dengan baik oleh Timbalan Pengerusi JPP, Azman Hendra dan Setiausaha JPP, Ismail Yusof sehingga berlaku masalah selain gagal untuk menerangkan perkara yang didakwanya diputarbelit.

Menurut Rafizi, kontroversi mengenai keanggotaan di Cabang Julau telah dijadikan bahan mainan politik sehingga mencemarkan nama baik parti sedangkan fakta-faktanya telah dipersetujui berkali-kali di dalam Biro Politik PKR dan turut melibatkan kehadiran JPP sendiri.

Contoh, katanya, pimpinan yang bertanggungjawab menguruskan kemasukan Yang Berhormat Larry Sng ke dalam PKR adalah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan rakan-rakan beliau sendiri.

“Pimpinan yang mengumumkan kemasukan Larry ke dalam PKR adalah Zuraida Kamaruddin yang sebelum itu juga bertegas mahukan permohonan keanggotaan diterima dengan menggunakan thumb-drive tanpa menggunakan sistem keanggotaan atas talian,” katanya.

Katanya, ada banyak lagi cabang-cabang yang tidak mengisi borang keanggotaan (baik borang kertas atau atas talian) dan keanggotaan baru hanya dihantar melalui thumb-drive termasuk dari Cabang Batu yang dibawa oleh Tian Chua dan Cabang Kudat yang dibawa oleh Zuraida.

Menurutnya, Jawatankuasa Keanggotaan PKR yang menyemak dan meluluskan kembali semua permohonan keanggotaan itu termasuk dari Cabang Julau yang kemudiannya dipersoalkan apabila Cabang Julau memilih untuk tidak menyokong mereka diketuai oleh orang kanan Mohamed Azmin sendiri, Xavier Jeyakumar.

“JPP sendiri telah menyemak borang-borang keanggotaan dari Cabang Julau dan mendapati setakat semakan  lebih 6,000 permohonan dari 13,000 permohonan mempunyai borang yang sah,” katanya lagi.

Sebelum itu, JPP mendakwa serangan sistem e-undi di Julau, Sarawak sebagai perbuatan terancang pihak tidak bertanggungjawab seperti laporan media hari ini.

Sebab itu, keputusan JPP dalam kenyataan pagi ini mendakwa kejadian tablet dicerobohi dan sistem e-voting digodam di Cabang Julau tidak mempunyai apa-apa kesan kepada kewibawaan data.

Pengerusinya, Datuk Rashid Din berkata perisian yang ‘menyerang’ sistem dan tujuh tablet e-undi sama seperti yang digunakan JPP pada pemilihan ini tetapi jenamanya berbeza.

Beliau tidak menolak perisian yang dimuat turun dalam tablet berkenaan boleh dikawal dari jauh yang mungkin berada di luar negara, namun masalah itu sedang disiasat pihaknya.- MalaysiaGazette