Buku Harapan yang mengandungi 10 janji 100 hari, 60 janji 5 tahun.
Buku Harapan yang mengandungi 10 janji 100 hari, 60 janji 5 tahun

KUALA LUMPUR – Wan Saiful Wan Jan didakwa tidak layak untuk menjadi perancang atau taktikal dalam parti politik jika tidak cukup ilmu dan tidak bekerja keras untuk akses maklumat.

Meskipun manifesto bukan satu perjanjian yang boleh dituntut tetapi ia merupakan satu ikrar pemimpin kepada rakyat dalam mendapatkan kuasa dan kepercayaan rakyat.

Lantaran itu, alasan gagal mendapat akses maklumat yang diberikan oleh Wan Saiful ekoran kegagalan Pakatan Harapan menunaikan janji-janji menjelang pilihan raya tidak boleh diterima.

Penganalisis pasaran, Rusli Ahmad berkata, walaupun Wan Saiful berterus-terang mengakui kesilapan PH tetapi cara itu tidak kena dan tidak tepat.

Ini kerana, sejak merdeka lagi, rakyat negara ini memang berpegang dengan janji-janji pemerintah – dari sekecil-kecil perkara sehingga perkara besar.

Dengan kedudukan sebagai Timbalan Pengarah Biro Strategik dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Wan Saiful kelihatan tidak bijak apabila memberi alasan kekurangan akses maklumat sebagai punca gagal merangka manifesto PH.

Apatah lagi, sumber-sumber maklumat semuanya berada di hujung jari.

“Macam mana beliau boleh menggunakan alasan itu sedangkan Bank Negara Malaysia mengeluarkan penyata kewangan negara secara terperinci setiap suku tahun.

“Imbangan kira-kira, penyata aliran keluar masuk wang, hutang….semuanya cukup.

“Biarpun data yang dikeluarkan mungkin terlewat (bukan semasa) tetapi ia cukup dijadikan indikator tentang kedudukan ekonomi negara pada ketika itu,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Wan Saiful yang mendakwa PH tidak dapat memenuhi manifesto kerana tidak mendapat maklumat mencukupi termasuk status kewangan negara ketika merangka manifesto Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu.

Ekoran itu, kata Setiausaha PPBM Perlis, manifesto yang dirangka mempunyai kelemahan.

Namun, Rusli mempersoalkan jika menjadi pembangkang, PH mempunyai beberapa individu yang bijak membaca akaun hingga banyak akaun milik firma-firma kerajaan didedahkan, tidak mungkin status kewangan negara tidak boleh diakses.

Jelasnya, penganalisis-penganalisis juga menggunakan data-data sedia ada dalam membuat unjuran atau ramalan tentang kedudukan masa depan ekonomi negara.

“Jika metodologi dan cara betul, kemungkinan unjuran yang dibuat hampir tepat atau tepat,” katanya s

Tambahnya, pendedahan oleh Wan Saiful itu menunjukkan kelemahan PH yang dilihat pada mata rakyat sebagai satu bentuk penipuan.

Lebih-lebih lagi, kenyataan Wan Saiful itu tidak mencerminkan langsung kedudukannya sebagai pemimpin politik.

“Patut jawablah secara politik kerana PH ada empat tahun lagi untuk diberi peluang, perlu berusaha untuk realisasi janji manifesto.

“Bukan salahkan mana-mana pihak. Patut (Wan Saiful) salahkan keupayaan sendiri yang gagal merencana masa depan rakyat dan negara.

“Secara mata kasar dan logiknya, Wan Saiful bukan seorang taktikal. Apabila beliau menjawab begitu, nampak sangat PH tidak ada usaha,” katanya.

Rusli tidak menolak sikap berhati-hati kerajaan dalam berbelanja kemungkinan atas permintaan DAP – memandangkan kaum Cina begitu prihatin dalam soal ini.

Alasannya ialah, hampir separuh kelompok M40 adalah Melayu dan 80 peratus B40 merupakan Melayu.

“Berapa sangat sumbangan mereka (Melayu) dalam ekonomi negara berbanding kaum Cina,” tambah beliau.

Bagaimanapun, Rusli berkata, kerajaan Pakatan Harapan perlu berhati-hati dengan ‘blame game’ yang suka menunding jari kepada kerajaan Barisan Nasional.

Katanya, taktik itu sesuai untuk jangka pendek sahaja.

“Kalau berterusan, taktik ini akan makan ‘diri sendiri’. Sekarang pun rakyat sudah memperkatakannya (blame game),” ujar beliau yang mengakui sentimen pasaran tidak begitu sihat ketika ini disebabkan faktor dalaman dan luaran.

Faktor dalaman itu termasuk kepimpinan kerajaan, Belanjawan 2019 dan isu-isu politik. – MalaysiaGazette