Bangunan Kementerian Pendidikan Malaysia. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan,Dr Maszlee Malik tampil berikrar untuk melakukan pendedahan demi pendedahan berhubung salah laku serta skandal rasuah membabitkan kementeriannya oleh pentadbir terdahulu.

Malah kata Maslzee, ketika ini beliau sudah menubuhkan sebuah pasukan khas yang dipertanggungjawabkan untuk meneliti dan membongkar kepincangan serta salahlaku oleh kepimpinan Barisan Nasional (BN) di kementerian berkenaan.

Maszlee yang juga merupakan Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, antara yang bakal didedahkan olehnya adalah program bantuan susu melibatkan nilai jutaan ringgit yang telah dihentikan sejak awal tahun lalu.

“Program Susu 1Malaysia (PS1M) yang secara misteri ‘hilang’ sejak tahun lepas walaupun sudah memperuntukan jutaan ringgit wang rakyat hanya salah satu skandal yang akan dibongkarkan oleh saya dalam masa terdekat.

“Lebih memeranjatkan, bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Madzhir Khalid pula menyatakan beliau tidak pasti tentang perkara itu walaupun sudah ada laporan bantuan susu tersebut secara tiba-tiba ‘terhenti’. Projek ini sebenarnya telah gagal. Kita kena siasat mana hilangnya susu-susu ini.

“Tidak apa, selepas ini saya akan berteruskan mendedahkan semua skandal dan kepincangan ini satu persatu. Pada saya, semua ini wang rakyat dan mereka perlu tahu keadaan sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen ketika diminta mengulas tentang isu PS1M yang kini seolah-olah sudah dilepas tangan oleh kerajaan terdahulu.

PS1M merupakan program di bawah Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang sepatutnya mengedarkan susu kotak kepada murid miskin di sekolah.

Malah untuk perlaksanaan program RMT ini telah menerima peruntukan RM299 juta daripada kerajaan BN seperti dibentangkan dalam Belanjawan 2018.

Tambah Maszlee, pasukan ini juga akan melihat semula tawaran rundingan langsung dan kesemua projek yang tidak mematuhi garis panduan seperti yang telah diperuntukan sebelum ini.

“Ini bukan dendam atau cari salah, tetapi kepincangan ini perlu dibetulkan walau apa sekalipun supaya pada masa kelak ianya menjadi pengajaran penting kepada mana-mana pihak daripada melakukan kesalahan seumpama itu,” tegasnya. –MalaysiaGazette