Mohd Anuar mengesahkan Hamzah sudah keluar PAN.
Mohd Anuar mengesahkan Hamzah sudah keluar PAN.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Nasional Parti Amanah Negara (PAN) mengalu-alukan kemasukan ahli Pas dan UMNO serta pengundi muda ke dalam parti itu.

Setiausaha Agungnya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, perkara tersebut dicapai dalam satu pemukiman yang diadakan baru-baru ini.

“Mengkaji untuk mewujudkan satu badan pemantau bebas untuk memantau prestasi Menteri, Timbalan Menteri dan pegawai-pegawai lantikan politik khususnya dari Amanah.

“Menambah baik proses lantikan politik dengan memastikan keseimbangan antara profesional dan ahli politik tanpa menjejaskan merit dan kelayakan.

“Merancakkan kempen untuk mengalu-alukan kemasukan ahli-ahli baru ke dalam Amanah terutamanya daripada ahli-ahli Pas, UMNO dan pengundi muda.

“Membangun dan memperkemaskan program latihan dan pembangunan diri sama ada untuk ahli-ahli baru dan juga ahli-ahli sedia ada bagi memastikan ahli-ahli Amanah faham dan komited mendukung matlamat perjuangan parti,” katanya yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Anuar berkata, pemukiman tiga hari yang diadakan pada 2 hingga 4 November lalu adalah bagi membincangkan beberapa perkara khususnya dalam usaha menguatkan lagi parti.

“Ia termasuk memperkemaskan aspek pengurusan parti pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), hubungan parti dengan kerajaan serta hal ehwal keahlian parti,” ujarnya.

Tambah beliau, satu kajian lapangan telah dijalankan melibatkan 1,000 responden yang terdiri daripada ahli parti dari seluruh negeri, antara lain tujuannya untuk mendengar pandangan dari akar umbi dalam usaha menambah baik perjalanan parti pasca PRU14. – MalaysiaGazette