Mohamad Sabu
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu ketika hadir pada Forum Perspektif Strategik Serantau: Ancaman Asimetrik Abad ke-21 Terhadap Pertahanan Negara di Auditorium Intan, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 13 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyarankan Panglima Angkatan Tentera (PAT) bertemu komposer tempatan bagi mencipta lagu baharu buat Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata, ketika ini lagu-lagu bertemakan ATM yang malar segar dicipta pada tahun 1960an dan 1970an.

Jelas beliau, lagu-lagu yang dicipta selepas zaman itu pula kurang melekat di halwa masyarakat pada hari ini.

“PAT bolehlah pergi berjumpa (Datuk) M.Nasir dan (Datuk) Ramli Sarip untuk buat lagu ATM baharu.

“Yang popular semua dicipta pada tahun 60an seperti Si Baju Hijau, Malaysia Berjaya dan Perwiraku dan yang lagu selepas itu pula kurang diminati masyarakat.

“Kalau PAT hendak jumpa (Datuk) Sheila Majid dan Ziana Zain pun boleh juga,” katanya tersenyum sambil berseloroh.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab selepas menyampaikan syarahan bertajuk Perspektif Strategik Serantau: Ancaman Asimetrik Abad ke-21 Terhadap Pertahanan Negara di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan seorang peserta yang bertanya tentang kejayaan filem Paskal apabila mendapat sambutan hebat di pawagam baru-baru.

Mohamad Sabu menambah, filem bertemakan patriotik dan ketenteraan menjadi pilihan penonton jika memiliki kualiti dan aksi yang memukau.

Beliau turut berharap pihak kementerian dapat membantu penggiat seni yang ingin menerbitkan filem yang bertemakan sama pada masa akan datang.

“Mungkin KSU (Ketua Setiausaha) boleh beri dana jika mereka datang memohon dana,” katanya. – MalaysiaGazette