Lion Air
Pesawat Lion Air

DALLAS – Potensi risiko dan ciri keselamatan pada pesawat Boeing 737 Max yang dikaitkan dengan nahas maut di Indonesia didakwa tidak cukup dinyatakan dalam manual atau latihan juruterbang.

Perkara itu disedari oleh Kesatuan Juruterbang Amerika Syarikat selepas Boeing dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan mengeluarkan arahan baharu pada minggu lalu mengenai sistem baharu pesawat berkenaan.

Juruterbang, kesatuan dan jabatan latihan kemudian menyedari bahawa tidak ada dokumentasi yang menjelaskan mengenai sistem baharu dalam bagi keluarga pesawat Max.

“Kami tidak suka kerana kami tidak diberitahu.

“Syarikat dan juruterbang sepatutnya dimaklumkan. Ia membuat kita tertanya-tanya. Saya berharap tidak ada lagi kejutan di luar sana,” kata Jon Weaks, Presiden Kesatuan Juruterbang Southwest Airlines.

Dennis Tajer, seorang kapten dan jurucakap 737 untuk Persatuan Juruterbang Sekutu di American Airlines berkata, keadaan ini menyebabkan anggota kesatuan juga bimbang.

“Ini bukan mengenai bukan isu terpencil dan birokrasi, ini mengenai pengetahuan kapal terbang anda. Kami akan sentiasa bersemangat dan agresif untuk memperoleh pengetahuan tentang pesawat baharu,” kata Tajer.

Beberapa maklumat telah dikeluarkan mengenai sebab-sebab kemalangan pesawat Lion Air pada 29 Oktober yang terhempas di perairan Jakarta.

Antaranya, penyiasat Indonesia mendakwa kemungkinan masalah dari pengimbas pesawat itu hingga ia tidak selari antara kelajuan dan ketinggian, mendorong kapal terbang itu terhempas. – MalaysiaGazette