Guan Eng merasmikan Seminar Percukaian Kebangsaan 2018 sambil diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Datuk Seri Sabin Samitah (kanan) dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir (kiri) pada Seminar Percukaian Kebangsaan 2018 di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 13 NOVEMBER 2018
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng merasmikan Seminar Percukaian Kebangsaan 2018 sambil diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), Datuk Seri Sabin Samitah (kanan) dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir (kiri) pada Seminar Percukaian Kebangsaan 2018 di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 13 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kutipan cukai negara meningkat sebanyak 11 peratus setakat 11 November lalu berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pembayar cukai mungkin tidak mempunyai masalah lagi untuk menunaikan kewajipan kepada negara apabila yakin wang yang dikutip daripada mereka digunakan untuk pembangunan ekonomi dan sosial dan bukannya dibazirkan.

Antara penyumbang utama peningkatan cukai tahun ini adalah daripada cukai petroleum selain pertambahan sumbangan daripada cukai pendapatan individu serta korporat.

Tambah beliau, Kementerian Kewangan juga sedang berbincang dan mengadakan kajian teliti untuk mengenakan cukai-cukai baharu yang dirasakan sudah patut dilaksanakan di negara ini antaranya Cukai Keuntungan Modal.

“Kita sedang berbincang dengan mendalam mengenai pelaksanaan cukai-cukai baharu ini.

“Walaupun mungkin tidak dilaksanakan dalam tempoh terdekat tetapi kita merasakan sudah tiba masanya Malaysia memperkenalkan cukai-cukai berkenaan.

“Kita tidak mahu dari awal kemerdekaan sehingga sekarang, cukai sedemikian masih belum dilaksanakan,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Seminar Percukaian Kebangsaan 2018 di sini hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan menurut Guan Eng merancang untuk mengurangkan cukai korporat selepas kedudukan fiskal negara kembali pulih.

“Cadangan ini bukan akan dilaksanakan dalam masa terdekat kerana kerajaan perlu menyelesaikan hutang sebanyak RM1 trilion tetapi ianya pasti akan dilaksanakan apabila kedudukan kewangan negara kembali pulih suatu hari nanti,” katanya.

Dalam pada itu, hasil pendapatan kerajaan Persekutuan dijangka meningkat 7.3 peratus kepada RM236.5 bilion pada tahun ini disumbang oleh kutipan cukai langsung dan hasil bukan cukai yang mengimbangi kehilangan sumber pendapatan daripada GST yang lebih tinggi berbanding tahun lepas.

Hasil cukai katanya, menyumbang 73.9 peratus kepada jumlah hasil atau 12.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) manakala hasil bukan cukai mewakili 26.1 peratus daripada jumlah hasil keseluruhan atau kira-kira 4.3 peratus kepada KDNK.

Bagi membantu untuk terus meningkatkan hasil secara sistematik tanpa membebankan rakyat, Kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Kewangan Awam dan Jawatankuasa Reformasi Cukai.

Jawatankuasa Kewangan Awam bertanggungjawab menyediakan rancangan fiskal jangka sederhana yang mengimbangi agenda konsolidasi fiskal bagi memperbaiki kewangan kerajaan dengan keperluan perbelanjaan dan pelaburan awam yang dibuat untuk menjamin kesejahteraan rakyat.

Jawatankuasa Reformasi Cukai pula berfungsi untuk mengkaji sistem percukaian negara secara menyeluruh agar ia lebih cekap, neutral dan progresif ke arah ekonomi yang lebih saksama dan mampan tanpa membebankan kebajikan rakyat. – MalaysiaGazette