Recep Tayyip Erdogan
Recep Tayyip Erdogan

ISTANBUL – Pihak berkuasa risikan Arab Saudi terkejut selepas mendengar rakaman audio pembunuhan wartawan Washington Post, Jamal Khashoggi di konsulat Arab Saudi di Istambul.

Presiden Recep Tayyip Erdogan menyifatkan kandungan rakaman itu sebagai malapetaka dan menggesa Riyadh mengambil tindakan konkrit terhadap dalang pembunuhan itu.

“Semua minta untuk mendengar rakaman audio ini, organisasi risikan kami tidak menyembunyikan sesuatu. Selain Arab Saudi, Amerika Syarikat, Perancis, Kanada, Jerman dan United Kingdom telah mendengar rakaman ini.

“(Kandungan) pita rakaman ini benar-benar malapetaka. Malah pegawai risikan Arab Saudi terkejut apabila beliau mendengar rakaman ini seperti yang dikatakannya. Inidividu (dalang) ini mungkin mengambil heroin, hanya lelaki yang mengambil heroin boleh melakukan seperti ini,” kata Erdogan kepada wartawan sekembalinya dari Paris bagi menghadiri sambutan berakhirnya Perang Dunia Pertama.

Ditanya reaksi pegawai risikan Arab Saudi itu, Erdogan mengulangi dengan menyatakan lelaki itu terkejut ketika mendengar rakaman tersebut.

“Ya, Lelaki itu terkejut apabila mendengarnya. Terdapat realiti mengenainya. Terdapat mereka yang cuba untuk memesongkan kebenaran walaupun terdapat fakta,” katanya yang dipetik akhbar Hurriyet Daily.

Ketua Pendakwa Raya Arab Saudi yang melawat Istanbul bagi membincangkan pembunuhan itu dengan rakan sejawatnya baru baru ini dilihat cuba melengah-lengahkan tugas beliau walaupun terdapat bukti dan maklumat yang mencukupi.

Erdogan menambah: “Putera Mahkota berkata ‘Saya akan memberi cahaya kepada insiden ini dan akan lakukan apa sahaja yang perlu’. Beliau memberitahu wakil saya ‘Kami akan menungu dengan sabar’.

Erdogan menegaskan dalang pembunuhan itu adalah antara 18 pegawai tinggi Arab Saudi yang dikerah ke Istanbul sebelum Khashoggi melawat konsulat Arab Saudi untuk urusan perkahwinannya.

“Sudah pasti dalangnya antara 18 orang ini. Siapa lagi? Dia yang memberi arahan. Seperti yang saya katakan, selain daripada dalang, individu yang beri arahan perlu dicari,” katanya sambil menambah Turki akan terus mengikuti kes itu dan bertanyakan soalan mengenai lokasi mayat Khashoggi. – Agensi