Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata tugas SPRM adalah untuk mengenal pasti sama ada berlaku kemasukan duit ke akaun terbabit.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata tugas SPRM adalah untuk mengenal pasti sama ada berlaku kemasukan duit ke akaun terbabit.

PUTRAJAYA – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa untuk mewujudkan subjek berkaitan pencegahan rasuah di setiap sekolah sebagai permulaan untuk membendung gejala rasuah daripada terus berleluasa di negara ini.

Menurut Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, badan itu telah mengemukakan cadangan tersebut kepada Kementerian Pendidikan (KPM) bagi menjadikan subjek rasuah sebagai subjek wajib di sekolah.

“Saya sudah berjumpa Menteri Pendidikan dan mengesyorkan supaya subjek rasuah dijadikan subjek wajib dan diadakan peperiksaan.

“Biar peringkat awal ditanam benci rasuah kerana kerana keadaan rasuah ketika ini amat membimbangkan,” katanya ketika berucap sebagai panel dalam Forum Permuafakatan SPRM-KPM 2018 di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya, hari ini.

Tambah Shukri, sikap membenci rasuah perlu ditanam dalam diri pelajar dari peringkat awal lagi bagi mengelak ia merebak mereka apabila dewasa.

Ini kerana perkara ini sudah menular di sekolah membabitkan pelajar dan guru.

“Ada kes guru meminta ‘anu’ (seks) daripada pelajar bagi membolehkan lulus peperiksaan.

“Malah ada juga kes pelajar memberi wang rasuah kepada rakan sekelas bagi membolehkan dilantik sebagai ketua kelas dan juga sokongan sebagai ketua pengawas.

“Kalau kecil-kecil macam ini sudah pandai bermain dengan duit macam mana nak harap mereka jadi pemimpin satu hari nanti, kerana itu pentingnya didikan awal untuk benci rasuah diterapkan,” katanya,” katanya lagi. -MalaysiaGazette