Petisyen membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Menghapuskan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) terus mendapat sambutan dan sehingga pukul 10.30 pagi hari ini sebanyak 113,389 tandatangan telah berjaya dikumpulkan.
Petisyen membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Menghapuskan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) terus mendapat sambutan dan sehingga pukul 10.30 pagi hari ini sebanyak 113,389 tandatangan telah berjaya dikumpulkan.

KUALA LUMPUR – Petisyen membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Menghapuskan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) terus mendapat sambutan dan sehingga pukul 10.30 pagi hari ini sebanyak 113,389 tandatangan telah berjaya dikumpulkan.

Pertambahan jumlah tandatangan yang melangkaui angka 100,000 itu menunjukkan semakin ramai memahami apa itu ICERD dan mengapa ia tidak sesuai untuk dilaksanakan di negara ini.

Peguam, Lukman Sheriff Alias yang menggerakkan petisyen tersebut bersama sekumpulan pengamal undang-undang di negara ini mensasarkan  150,000 tandatangan untuk dicapai menjelang akhir bulan ini.

ICERD menarik perhatian rakyat negara ini apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy menegaskan kerajaan akan mengesahkan enam triti hak asasi manusia  termasuk ICERD.

Kenyataan beliau itu mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pula menegaskan bahawa ICERD terdapat beberapa perkara dalam ICERD yang tidak selari dengan Perlembagaan negara.

ICERD turut mendapat perhatian parti-parti politik yang rata-rata telah menyatakan pendirian menolak ratifikasi konvensyen tersebut.

Bagaimanapun DAP mempertahankan pendirian bahawa kesamarataan perlu dilaksanakan di Malaysia, justeru ICERD mesti mesti diratifikasi  oleh kerajaan. Parti itu merujuk semula Deklarasi Setapak.

Deklarasi yang tercetus pada 1967 itu menyerlahkan pendirian kepimpinan DAP terdahulu bahawa warganegara Malaysia tidak harus diasingkan dengan label ‘bumiputera’ dan ‘bukan bumiputera’.

Majlis Peguam turut menggesa kerajaan mengesahkan ICERD secepat mungkin sejajar dengan perjuangan badan itu yang mahu kesaksamaan dan kesamarataan hak asasi manusia diperlihara.

ICERD turut mencetuskan gerakan bantahan dalam bentuk perhimpunan aman di hadapan bangunan Parlimen, selain di beberapa lokasi dan usaha tersebut dilaksanakan secara berterusan.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata, kerajaan tidak akan melanggar mana mana perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dalam isu ICERD.

Kerajaan Pakatan PH masih mempunyai masa untuk memutuskan pelaksanaan ratifikasi ICERD dan tidak akan terburu-buru kerana perlu dinilai lebih mendalam bagi memastikan tidak melanggar Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan, Sistem Raja Berperlembagaan, kedudukan Islam dan mana-mana hak termaktub dalam perlembagaan, kata Muhyiddin.

ICERD adalah salah satu konvensyen antarabangsa hak asasi manusia yang telah berkuatkuasa dari tahun 1969. Malaysia dan Korea antara negara yang tidak pernah menandatanganinya apalagi meratifikasinya. – MalaysiaGazette