Datuk Seri Najib Tun Razak
Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi mengulangi amaran bahawa negara akan terperangkap kerana kerajaan menganggarkan peruntukan Belanjawan 2019 berdasarkan harga purata minyak mentah sebanyak AS$70 setong.

Kata Najib yang merupakan bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan, harga purata minyak mentah tidak menentu kerana tertakluk kepada faktor geopolitik.

“Asas utama merangka bajet adalah dengan menggunakan senario paling berhemah dan konservatif. Jika keadaan baik, kita ada bonus. Jika tidak, kita juga sudah buat persedian.

“Saya sudah katakan sebelum ini, jangan sesekali ambil andaian harga minyak 70 dolar setong. Dalam bajet ini AS$72 setong. Ketika itu harganya AS$80 setong.

“Semalam, harga purata minyak mentah Brent AS$62 setong, sudah jatuh. Tidak sampai 10 hari, andaian bajet 2019 ini sudah tidak relevan lagi. Ini serius.

“Ini serius. Setakat ini AS$62, kalau turun lagi AS$60 sampai AS$55 dolar? Masa saya dahulu menjadi Menteri Kewangan, pernah jatuh sehingga AS$28 setong. Tetapi dasar kita yang sentiasa ‘berhemah’, kita tidak alami krisis kewangan dan kemelesetan ekonomi ketika itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 di Dewan Rakyat sebentar tadi.

Tambah Najib, seandainya harga minyak jatuh lagi ia mampu memberi implikasi serius dan bebanan hutang negara akan meningkat.

“Saya harap tidak, tetapi melihat senario ketika ini malah ramai yang percaya, ini akan membawa kepada implikasi kewangan yang serius kepada negara,” tegasnya.

Malah tambah beliau, impian kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk melihat hutang negara meningkat sehingga RM1 trilion akan menjadi kenyataan seandaiya keadaan berterusan begini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan anggaran peruntukan Belanjawan 2019 berdasarkan harga purata minyak mentah AS$70 setong walaupun harga purata minyak mentah Brent kini menghampiri AS$80 setong.

Mahathir berkata, belanjawan operasi dikekalkan tetapi peruntukan pembangunan akan dikurangkan kerana pentadbirannya perlu membayar hutang RM1 trilion yang diwarisi daripada pentadbiran dulu. -MalaysiaGazette