Khalid Samad
Khalid Abdul Samad. foto HAZROL ZAINAL, 14 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menggesa Khalid Samad mendedahkan dalang projek Harapan Coin yang dicadangkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan.

Pada masa sama, bekas Perdana Menteri itu mempertikaikan Khalid mendedahkan keuntungan bakal dijana.

“Saya tanya sekali lagi, apa sebenarnya agenda Harapan Coin ini, dan siapa sebenarnya yang untung?

“Saya mahu Khalid Samad dedahkan dalang di sebalik projek ini. Namakan mereka satu per satu,” katanya menerusi Facebook.

Khalid terdahulu mencadangkan agar Harapan Coin digunakan sebagai platform yang menggunakan teknologi mata wang kripto dan blockchain, kepada Bank Negara Malaysia dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga menjelaskan bahawa mata wang kripto itu akan boleh digunakan bagi transaksi seperti bayaran lesen, saman dan banyak lagi.

Tambah Najib, bukan sahaja penerangan yang tidak jelas mengenai Harapan Coin itu diberikan malah ia mengundang rasa hairan apabila dikaitkan dengan Khalid Samad.

“Harapan Coin? Sangat kreatif idea pemimpin-pemimpin PH kebelakangan ini.

“Saya belek laman web-nya, dia kata “berpotensi jadi matawang rasmi jika PH menang pilihanraya”.Bahagian penerangan juga penuh dengan retorik dan justifikasi yang tak berasas.

“Makin saya belek makin nampak pelik, lagi pelik bila saya perasan ia dikaitkan dengan YB Khalid Samad.

“Begitu bersungguh-sungguh dia mahukan ini. Mengapa?,” tambahnya.

Beliau dalam masa yang sama Najib mempersoalkan adakah Bank Negara akan bersetuju dengan cadangan itu. -MalaysiaGazette