Harga rokok naik mulai 1 September ini.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak sesekali tunduk atau berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan bantahan berhubung perintah larangan merokok secara terbuka di restoran atau gerai makanan.

Sebaliknya, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, keputusan itu dibuat atas kepentingan awam terutamanya golongan kanak-kanak, wanita serta warga emas yang terpaksa ‘menghirup’ udara bersama asap rokok.

Jelas Dr Dzulkefly, pihaknya sudah jelas dengan undang-undang baharu itu dan tidak akan berkompromi dengan tuntutan dibuat oleh segelintir penguasaha restoran dan gerai.

“Itu adalah tempat makan. Bukan tempat merokok. Mereka yang mahu merokok boleh mencari tempat yang lebih sesuai untuk merokok.

“Ramai yang tidak merokok juga datang ke restoran dan gerai untuk makan bukan merokok. Ini adalah perjuangan kita untuk kebaikan umum dan tidak akan sesekali berganjak daripada keputusan ini.

“Mereka boleh cari tempat lain yang lebih sesuai untuk merokok, keputusan perintah larangan merokok adalah muktamad,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

MGF6082018_SIDANG PARLIMEN_22

Dzulkefly mengulas tuntutan lebih 2,000 pengusaha restoran yang mahu kerajaan memperkenalkan zon merokok atau kamar kecil untuk merokok seperti di negara maju iaitu di Jepun dan Singapura dan bukan mengeluarkan perintah larangan sekaligus.

Kata penguasaha ini,  larangan merokok di restoran atau premis makanan terbuka itu adalah tidak realistik dan tiada usaha oleh pihak berkuasa untuk menghentikan amalan merokok oleh perokok.

Pada awal September, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, bermula 1 Januari 2019 peraturan larangan merokok akan dikuatkuasakan di semua restoran bertutup, berhawa dingin atau restoran dan warung berkonsep terbuka.

Dengan larangan itu, perokok yang ditahan di kawasan larangan akan didenda RM10,000 dan pengusaha makanan yang tidak mematuhi larangan ini boleh didenda RM2,500. –MalaysiaGazette

 

Persatuan pengusaha restoran bantah larangan merokok