Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bercakap kepada media selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumawip Residensi Pandanmas 2 di Resedensi Pandanmas Kampung Pandan, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 25 APRIL 2018
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor

PUTRAJAYA – Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pukul 3.15 petang tadi.

Sumber SPRM memberitahu, beliau hadir dengan menaiki Toyota Camry warna putih.

Kenderaan yang membawa Ahli Parlimen Putrajaya itu terus masuk ke ruang tempat letak kereta di bahagian bawah bangunan agensi penguatkuasa itu tanpa disedari wartawan dan jurugambar.

Difahamkan, kehadiran Ku Nan adalah untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan terhadap 97 kes transaksi meragukan membabitkan penjualan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seluas lebih 273 hektar bernilai RM5.63 bilion semasa beliau menjadi menteri Wilayah Persekutuan.

Menurut sumber itu lagi, Tengku Adnan akan ditahan di lokap SPRM dan akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok untuk pertuduhan.

Bagaimanapun, difahamkan SPRM akan mengeluarkan kenyataan mengenai perkara tersebut dalam masa terdekat.

Terdahulu, isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor disahkan sekali lagi akan dihadap ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di Jalan Duta pukul 3 petang esok.

Rosmah berdepan dengan tuduhan membabitkan projek hibrid solar RM1.25 bilion di kawasan pedalaman di Sarawak.

Perkara tersebut didedahkan oleh laman web Sarawak Report yang mendakwa kemungkinan wujud penyelewengan dalam pemberian kontrak projek hibrid solar berkenaan melalui penganugerahan kontrak secara terus di bawah arahan seorang bekas pemimpin tertinggi negara.

Pemimpin berkenaan turut didakwa mengarahkan Kementerian Pendidikan pada Januari tahun lepas agar melantik sebuah syarikat perniagaan kereta sewa di Bintulu bagi projek hibrid solar untuk 369 sekolah pedalaman di Sarawak. – MalaysiaGazette