Datuk Shahril Ridza Ridzuan
Shahril Ridza Ridzuan

KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya seorang ahli lembaga pengarah muda perlu berada di dalam barisan lembaga pengarah syarikat korporat terutamanya syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC).

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pada era 80an, banyak program yang memberi peluang kepada anak-anak muda untuk meraih pengalaman dalam bidang korporat sehingga mampu melahirkan tokoh-tokoh yang meneraju syarikat-syarikat utama di Malaysia pada hari ini.

Bagaimanapun, program dan peluang sedemikian sudah tidak wujud lagi pada hari ini.

“Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd., Datuk Shahril Ridza Ridzuan diberi peluang pada usia yang sangat muda pada tahun 80an dahulu dan lihatlah di mana beliau kini.

“Ramai ketua-ketua pegawai eksekutif atau pengerusi-pengerusi hebat pada hari ini adalah mereka yang diberi peluang pada tahun 80an walaupun ketika itu masih lagi sangat muda.

“Kita mahu lahirkan lebih ramai Shahril Ridza,” katanya semasa sidang media selepas perasmian Sidang Kemuncak Tenaga Kepimpinan Asia ICLIF di sini hari ini.

Tambah Syed Saddiq, masa hadapan dunia korporat Malaysia bergantung kepada anak-anak muda pada hari ini.

Bagaimanapun, perkara tersebut sukar dicapai apabila kebanyakan ahli-ahli lembaga pengarah syarikat terdiri daripada golongan yang lebih berusia terutamanya yang berumur 50 tahun ke atas.

“Kita bukan mahu seluruh lembaga pengarah terdiri daripada anak muda.

“Dari 10 orang ahli lembaga pengarah, letaklah seorang anak muda yang berkelayakan supaya mereka mendapat pendedahan bagi memimpin syarikat korporat.

“Tambahan pula dengan Revolusi Industri 4.0, idea inovatif anak-anak muda amat diperlukan kerana dengan teknologi terkini kecederdasan buatan (AI), Internet dan sebagainya, inilah fasa anak-anak muda,” katanya.

Menurut Syed Saddiq, beliau telah membawa cadangan tersebut kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bakal membentangkannya semasa mesyuarat Kabinet tidak lama lagi.-MalaysiaGazette