Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun bercakap kepada media pada Majlis Penyampaian Sijil Tabika KEMAS Cheras 2018 di Kolej Antarabangsa Yayasan Pendidikan Cheras (YPC), Cheras. foto FAREEZ FADZIL, 14 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Jika semalam, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun berpendirian bahawa beliau tidak tahu mengenai rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini nada Ketua Srikandi PPBM itu nyata berubah.

Rina ketika ditemui media dalam satu majlis di Cheras berkata, beliau menyerahkan nasibnya selaku menteri di tangan Dr Mahathir.

“Saya terima saja apa keputusan,” katanya kepada media selepas menyempurnakan majlis penyampaian sijil Tabika Kemas Parlimen Cheras di Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) hari ini.

Semalam dalam satu majlis di ibu negara, Rina berkata beliau tidak mengetahui perkara tersebut.

Malah katanya, persoalan sama ada digugurkan atau tidak tidak menjadi isu kerana Dr Mahathir telah memberikan beliau tanggungjawab yang besar dalam menghadapi Majlis Amanah Rakyat (MARA).

MARA diserahkan kembali kepada Kementerian Luar Bandar pada 1 September lalu.

Ditanya sama ada beliau terkesan dengan khabar angin tersebut, Rina berkata, beliau akan tetap memberikan fokus dengan segala pelan yang telah dirancang di bawah kementeriannya.

“Selagi saya masih memgang jawatan ini saya akan terus menjalankan amanah dan tanggungjawab,” katanya lagi.

Menurut laporan beberapa blog dan akhbar, Rina bakal digugurkan daripada barisan Kabinet Dr Mahathir dan ura-ura beliau akan digantikan dengan Ahli Parlimen Sri Gading yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.

Malah Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik juga dikhabarkan bakal digugurkan dengan digantikan dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.

Dipercayai kerusi Azmin akan digantikan dengan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ahli Parlimen Jeli, Dato’ Seri Mustpaha Mohamed. – MalaysiaGazette

Maszlee, Rina Harun bakal digugurkan?