Kenderaan yang dipercayai membawa isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 14 NOVEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pukul 11.40 pagi tadi.

Beliau menaiki kenderaan jenis Proton Perdana berwarna hitam dengan nombor pendaftaran WLG 11 diiringi sebuah kenderaan lain jenis Proton Waja dengan nombor pendaftaran XI ASEAN 360.

Rosmah hadir untuk diambil keterangan berhubung dakwaan terlibat dengan enam pertuduhan membabitkan projek hibrid solar RM1.25 bilion di kawasan pedalaman di Sarawak.

Pada awal Jun, sebuah laman web melaporkan kemungkinan wujud penyelewengan dalam pemberian kontrak projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion yang didakwa diberikan melalui penganugerahan kontrak secara terus di bawah arahan seorang bekas pemimpin tertinggi negara.

Pemimpin berkenaan turut didakwa mengarahkan Kementerian Pendidikan pada Januari tahun lepas agar melantik sebuah syarikat perniagaan kereta sewa di Bintulu bagi projek hibrid solar untuk 369 sekolah pedalaman di Sarawak.

Selain Rosmah dan pembantunya Datuk Rizal Mansor, turut dipanggil memberi keterangan adalah bekas menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.

Hari ini sumber SPRM memberitahu, Rizal telahpun ditahan dilokap SPRM sejak kelmarin selepas beliau diambil keterangan berhubung kes itu.

Tengku Adnan diminta hadir hari ini pada pukul 2 petang bagi membantu siasatan terhadap 97 kes transaksi meragukan membabitkan penjualan tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur seluas lebih 273 hektar bernilai RM5.63 bilion semasa beliau menjadi menteri Wilayah Persekutuan.

Berdasarkan maklumat awal, Tengku Adnan mungkin akan ditahan petang ini sejurus selesai memberikan keterangan dan akan didakwa esok di mahkamah bersama dengan Rosmah. – MalaysiaGazette

Rosmah, Rizal, Tengku Adnan dijangka ke SPRM tengahari ini

Rosmah, pembantu didakwa di mahkamah Khamis ini

Rosmah akan didakwa lagi?