HELSINKI – Tentera Rusia di Artik telah mengganggu isyarat lokasi Sistem Penentuan Kedudukan Global (GPS) semasa latihan ketenteraan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang dilakukan secara besar-besaran diadakan di  Norway, kata Kementerian Pertahanan Norway.

Kementerian itu berkata, terdahulu Kementerian Luar Norway telah memanjangkan isu  tersebut kepada pihak berkuasa Rusia.

Dalam e-melnya kepada The Associated Press, kementerian itu menyatakan ia ‘sedar gangguan daripada tentera Rusia telah direkodkan pada 16 Oktober dan 7 November’ di Semenanjung Artik Kola.

NATO mengadakan latihan ketenteraan secara besar-besaran di Norway, dikenali Trident Juncture, yang melibatkan tentera dari 31 buah negara pada 25 Oktober hingga 7 November lalu.

Finland dan Sweden, yang bukan anggota NATO, turut mengambil bahagian dalam latihan itu.

Gangguan isyarat lokasi itu dipercayai tidak menyebabkan sebarang insiden.

Pada minggu lalu, Perdana Menteri Finland, Juha Sipila berkata, isyarat lokasi GPS di wilayah Lapland yang terletak di utara negara itu telah diganggu secara sengaja.

Perkhidmatan penerbangan udara Finland mengeluarkan amaran kepada trafik udara pada minggu lalu.

Tanpa menyediakan sebarang bukti, Sipila berkata, jirannya, Rusia mungkin perlu dipersalahkan.

“Terdapat kemungkinan Rusia merupakankan pihak yang mengganggu itu,”katanya dalam temuabual dengan stesen penyiaran Finland, YLE.

Kementerian Pertahanan Rusia tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan ulasan tentang dakwaan Norway itu. Pada Isnin lalu Kremlin menafikan pembabitannya dalam gangguan GPS itu.

“Kami tidak tahu mengenai kemungkinan penglibatan Rusia dalam kegagalan GPS itu,” kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov seperti dipetik agensi berita, TASS.

“Terdapat trend untuk menyalahkan semua kesalahan kepada Rusia,”.

Rusia dipercayai mempunyai keupayaan dalam peperangan elektronik. Para pakar berkata, sejak kebelakangan ini negara itu telah melabur dengan banyak dalam teknologi yang boleh memberi kesan kepada isyarat GPS dalam pelbagai bidang.

Wilayah Lapland di Finland dan Finnmark di Norway terletak berhampiran dengan Semenanjung Kola di Rusia yang merupakan pengkalan tentera laut dan kapal selam di bahagian utara negara itu. – Agensi.