KUALA LUMPUR – Isu melibatkan usahawan kosmetik Datuk Aliff Syukri berterusan selepas perkataan hodoh yang digunakannya terhadap seorang hadirin pada konsert Gegar Vaganza 5 dua minggu yang lepas.

Kali ini, berkaitan dengan isu warna kulit penyanyi lagu Amalina, Santesh yang disebut oleh Aliff 4 November yang lalu.

Ekoran itu syarikat rakaman Santesh, PU4LYF, telah bertemu dengan peguam untuk memperincikan kelantangan Aliff itu.

Bagaimanapun, Santesh tidak menyatakan dengan jelas butiran perbincangan di antara kedua-dua pihak.

“Pihak label tidak berpuas hati dengan perkataan yang dikeluarkan oleh Datuk Aliff Syukri semasa selingan program tersebut.

“Jadi mereka ada bertemu dan berbincang dengan peguam, tapi saya tak boleh nak cakap lebih sebab ia membabitkan pihak label,” katanya.

Namun demikian, lelaki berusia 30 tahun ini berkata dia tidak menyimpan dendam dan bersedia bertemu usahawan tersebut.

“Saya tak ada masalah dengan Datuk Aliff sebab saya pun memang dah lama mengikutinya di Instagram dan sudah biasa tengok dia bercakap. Cuma malam itu, saya tak tahu apa niat dia.

“Sejujurnya, masa malam kejadian saya tak dengar apa dia cakap sebab bunyi dari atas pentas tak berapa jelas sehinggalah peminat beritahu di Instagram.

“Kalau perlu bertemu dengannya selepas ini saya okay sahaja, tak ada masalah,” katanya.

Sebelum ini, Aliff mengundang kontroversi apabila ingin memberikan produknya kepada seorang wanita yang dilabelkan ‘hodoh’.

Dalam selingan promosi produk D’herbs itu, dia turut menyebut mengenai warna kulit penyanyi Santesh namun beliau telah membuat permohanan maaf ketika konsert itu bersiaran langsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).-MalaysiaGazette