KUALA LUMPUR – Datuk Seri S. Vell Paari dilantik sebagai Setiausaha Agung MIC yang baharu berkuatkuasa hari ini.

Lantikan ini juga disifatkan amat bersesuaian berikutan kelantangan serta keprihatinan beliau dalam perjuangan masyarakat India selama ini.

Pelantikan baharu tersebut diumumkan oleh Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran selepas mempengerusikan mesyuarat CWC di ibu pejabat parti di Jalan Rahmat hari ini.

Apa yang jauh lebih menarik lagi, jawatan yang disandang oleh Paari sebelum ini sebagai Bendahari Agung MIC kini dijawat oleh seorang wanita buat kali pertama dalam sejarah iaitu Datuk MS Amrit Kaur.

Datuk Amrit

Datuk MS Amrit Kaur

Bagi jawatan Ketua Penerangan, Vigneswaran telah melantik V. Gunalan menggantikan mantannya, Datuk VS Mogan sebelum ini.

Kedua-dua pelantikan Paari dan Amrit Kaur merupakan pelantikan yang dilakukan di bawah bidang kuasa Presiden parti dengan lantikan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) baharu MIC.

Selain daripada ini, Vigneswaran juga mengumumkan tujuh pelantikan Pengerusi Negeri sementara tiga penyandang sedia ada di Perlis, Perak dan Pulau Pinang iaitu S.Vengadasamy, Datuk V. Elango dan Datuk M. Nyanasegaran kekal.

“Antara yang kita telah lantik untuk menerajui negeri termasuk untuk Pahang, VP Arumugam, Datuk GR Kannan (Melaka), M. Rajandran (Selangor), R. Vidyananthan (Johor), Senator Datuk Dr S. Ananthan (Kedah), S. Rajah (Wilayah Persekutuan) dan Datuk M. Veloo (Negri Sembilan),” katanya.

Dalam pada itu, Vigneswaran turut membuat pengumuman antara yang akan menjadi fokus utama selain daripada memperkasakan parti ialah membuat persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 kelak.

“Kita sudah kenalpasti calon yang kita rasakan layak, kita akan mula kerahkan mereka-mereka ini untuk bermula kerja dari bawah, ini bukan retorik atau omong kosong semata-mata.

“MIC akan bersedia dari semua aspek kerana hakikatnya, perjuangan kita adalah untuk dan demi rakyat. Rakyat kita juga akan celik dengan jasa serta pengorbanan kita selama lebih 60 tahun untuk komuniti kita secara keseluruhan nanti,” tegasnya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi. –MalaysiaGazette