Baik wanita, mahupun lelaki perlu berhati-hati dalam pergaulan dan perbualan melalui media sosial. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kebergantungan berlebihan kepada media sosial termasuk keinginan melampau untuk mendapat pujian dan pengiktirafan melalui aplikasi berkenaan merupakan satu tanda sakit mental

Pakar sakit mental Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Ng Chong Guan berkata, media sosial telah mengubah cara hidup dan cara pemikiran sehingga ramai orang menggunakan aplikasi elektronik untuk berkongsi detik kejayaan, kebahagiaan dan juga nikmat kekayaan dalam kehidupan.

Katanya, walaupun semuanya dikongsikan melalui media sosial oleh orang lain kelihatan sempurna dan indah, tetapi wujud bahagian tidak realistik malahan berunsur imaginasi.

Beliau berkata, pengguna media sosial dinasihatkan supaya tidak terlalu serius dengan kandungan yang dikongsikan orang lain sehingga bahan berkenaan menjadi sumber tekanan kepada diri sendiri.

Tambahnya, adalah tidak sihat juga jika semua orang terikut-ikut dan berlumba-lumba untuk mendapat pujian dalam media sosial.

“Adalah biasa jika mahu berkongsi apa yang berlaku dalam kehidupan, tetapi ia adalah membimbangkan jika terlalu bergantung kepada media sosial.

“Keadaan ini bermakna seseorang itu mahu mendapat pujian dan pengiktirafan dalam media sosial bagi mencapai kepuasan. Ia adalah tanda sakit jika seseorang cuba memperbesar-besarkan  satu kejadian untuk mencapai matlamat kepuasan,” katanya kepada China Press.

Beliau berkata, menghabiskan terlalu banyak masa melalukan swafoto sehingga menjejaskan urusan harian juga merupakan satu tanda yang perlu diberi perhatian.

Katanya perkongsian melalui media sosial telah sampai ke tahap yang tidak sihat pada zaman ini.

“Orang zaman ini berkongsi melalui Facebook semata-mata mahu mendapat pujian dan pengiktirafan. Perkembangan ini adalah tidak sihat,” katanya. – MalaysiaGazette