GEORGE TOWN – Cadangan mengenakan caj bagi kenderaan bukan berdaftar di Pulau Pinang yang masuk ke negeri ini perlu bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas yang makin kronik .

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Jason Ong Khan Lee berkata, beliau menyedari cadangan yang telah diutarakannya itu menarik perhatian banyak pihak dan mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat.

“Saya ingin nyatakan bahawa cadangan levi ke atas kereta luar untuk masuk ke Pulau Pinang adalah salah satu cara untuk membenarkan pemansuhan tol untuk kedua-dua jambatan.

“Rakyat dan individu luar yang bekerja di negeri ini boleh diberikan pengecualian dengan pelaksanaannya boleh dibuat menggunakan teknologi RFID (Radio Frequency IDentification).

“Malah, hasil kutipan caj ini boleh digunakan untuk kerja penyelenggaraan kedua-dua jambatan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Ong berkata, ini sekaligus dapat merealisasikan hasrat kerajaan Pakatan Harapan yang mahu menghapuskan tol di jambatan Pulau Pinang selain memenuhi sebahagian manifesto pilihan raya Pakatan Harapan.

“Cadangan ini juga adalah bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam selepas Pulau Pinang kini dilapor menerima kemasukan lebih 1 juta kenderaan,” katanya.

Katanya, cadangan tersebut dilihat lebih praktikal berbanding rancangan pembinaan lebih banyak lebuh raya yang akan menyebabkan kesesakan trafik lebih teruk dalam jangka panjang.

“Pembinaan lebuh raya tidak akan menyelesaikan masalah trafik dan bayangkan apa akan berlaku sekiranya Pulau Pinang menerima kemasukan 2 juta kenderaan nanti.

“Keluasan pulau ini tidak besar mana pun dan pembinaan lebih banyak lebuh raya hanya akan menyebabkan kesesakan lebih teruk dalam jangka panjang,”.

Beliau berkata pengenaan caj tersebut telah pun diguna pakai di beberapa negara luar seperti di Singapura dan China. – MalaysiaGazette