P. Waytha Moorthy
P. Waytha Moorthy

KUALA LUMPUR – Ratifikasi Konvensyen Antarabangsa berhubung Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tidak akan menjejaskan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan pada bila-bila masa.

Itu jawapan yang terus diulang oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy dengan sekali memberi menjamin Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tidak akan dimansuhkan meskipun negara meratifikasi ICERD.

Kata Waytha, konvensyen itu membenarkan tindakan afirmatif mengikut Artikel 1(4) berhubung langkah-langkah khas, tertakluk dengan syarat bahawa tindakan sedemikian perlu mempunyai penetapan waktu tertentu dan objektif.

“Sebenarnya tidak ada keperluan untuk kebimbangan atau kegusaran seperti ini ianya di timbulkan oleh segelintir pihak yang tidak memahami apa yang termaktub dalam perkara itu.

“Langkah-langkah khas perlu memenuhi beberapa syarat seperti kesesuaian dengan situasi yang ingin diubah, keabsahan, keperluan dalam masyarakat demokratik, pengakuan dan penghormatan kepada prinsip keadilan, selain bersifat sementara.

“Kewajaran dan penanda langkah khas seharusnya berlandaskan data tepat, bukan berasaskan ras, warna, keturunan, asal usul etnik atau bangsa dan mengambil kira komponen gender.

“Status sosio-ekonomi dan budaya sesebuah masyarakat yang berlainan dalam populasi juga perlu diambil kira, selain mengadakan rundingan awal dengan komuniti berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pengerang (BN), Datuk Seri Azalina Othman berhubung adakah ratifikasi Icerd akan membawa kepada pemansuhan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan mengenai hak-hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Tambah Waytha, kerajaan juga tidak akan sesekali terburu-buru dalam isu ini sebaliknya akan mengambil maklum pandangan semua pihak terlebih dahulu, melakukan kajian mendalam sebelum membuat apa-apa keputusan berhubung perkara tersebut.

“Kita komited dan akan menjaga semua peruntukan yang sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan, agenda bumiputera dan melindungi hak Melayu selain daripada Sabah Sarawak akan sentiasa di utamakan,” tegasnya.

ICERD diluluskan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 1965 dan Malaysia merupakan salah satu negara yang masih tidak menandatangani triti berkenaan.

Antara yang menjadi penyebab kepada isu ialah kebimbangan pelbagai pihak berkepentingan terutamanya apabila membabitkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang merupakan asas bagi dasar afirmatif yang melindungi orang Melayu dan Bumiputera lain.

Beberapa negara turut berkongsi kebimbangan Malaysia mengenai hak penduduk asal, tetapi pada masa sama turut menjadi anggota negara ICERD antaranya Tonga dan Fiji yang mempertahankan hak untuk memberi milik tanah yang dimiliki penduduk asalnya. –MalaysiaGazette