Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius pendedahan oleh sebuah akhbar mengenai dakwaan kelemahan sistem Visa Luar Negara (VLN) atas talian termasuk eNTRI dan eVISA untuk pelancong dari China dan India yang hendak memasuki Malaysia.

Kata Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pelaksanaan sistem eNTRI yang dikendalikan oleh syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) melalui satu perjanjian konsesi dengan KDN sejak tahun 2016 dikatakan gagal berperanan sebagai sistem saringan dan tapisan awal ke atas warga China yang memasuki negara ini.

“Sejak memulakan tugas sebagai Menteri Dalam Negeri, saya telah mengarahkan pihak pengurusan KDN untuk mengkaji semula perjanjian konsesi dengan vendor yang mengendalikan pelbagai sistem imigresen termasuk sistem VLN.

“Tujuan kajian semula ini ialah untuk memastikan kepentingan kerajaan dan keselamatan negara tidak terjejas oleh sebarang bentuk kelemahan yang berkemungkinan wujud dalam perjanjian mahupun pelaksanaan sistem,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan akhbar Harian Metro yang mendakwa kelemahan sistem VLN termasuk eNTRI dan eVISA.

Menurut Muhyiddin, KDN akan mengemukakan cadangan kepada kabinet untuk menaiktaraf sistem imigresen sedia ada sebelum membangunkan satu sistem baharu yang lebih efisien untuk memastikan perkhidmatan disediakan lebih cekap, selamat dan menjimatkan kos.

Pada masa ini, katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat pelbagai dakwaan penyelewengan yang melibatkan beberapa syarikat konsesi yang mendapat hak untuk mengendalikan sistem imigresen.

“KDN memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam menjalankan siasatan.

“Kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak jika terdapat bukti mengenai kelemahan atau penyelewengan dalam pelaksanaan sistem ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette