Mohamed Azmin Ali
Mohamed Azmin Ali

JOHOR BAHRU – Malaysia kini berada pada landasan yang betul untuk menjadi sebuah negara kukuh.

Malah, negara dalam keadaan baik untuk menjalinkan hubungan dua hala dan kerjasama dengan negara-negara jiran dan serantau.

Menteri Hal-Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini merupakan hasil pembaharuan institusi yang memberi penekanan dalam aspek tadbir urus, ketelusan dan akauntabiliti sebagai tonggak pembangunan ekonomi oleh Tun Dr Mahathir.

Dengan ini, para pelabur kekal yakin untuk terus melabur di negara ini.

Antaranya, memperkasakan peranan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dalam menangani gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Kerajaan Pakatan Harapan juga telah menyemak semula projek-projek yang diberi sebelum Mei 2018 supaya ia lebih telus dan terbuka.

“Jepun dan Singapura telah memberi komitmen untuk mengekalkan pelabur langsung asing di Malaysia selepas percaya dengan komitmen dan ajakan penting dalam pentadbiran negara bagi memastikan pelaburan mereka diurus dengan baik dan selamat,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Sidang Kemuncak Integriti dan Tadbir Urus Johor di sini.

Terdahulu ketika berucap, Azmin berkata, Kerajaan PH akan terus memberi dokongan kepada usaha-usaha SPRM dan Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Negara (GIACC) untuk memerangi rasuah dalam negara.

Azmin berkata, beliau turut menyambut baik cadangan GIACC untuk memperkenalkan satu undang-undang anti-sabotaj ekonomi negara untuk memerangi budaya ‘Ali Baba’ dalam perolehan kerajaan.

Beliau juga menyarankan agar satu Indeks Integriti dan Tadbir Urus Korporat Negara Nasional digunapakai organisasi-organisasi berteraskan ekonomi dan perniagaan.

Ia berfungsi sebagai rujukan, penanda aras dan barometer bagi mencerap tahap dan amalan integriti serta tadbir urus dalam organisasi.

“Indeks ini boleh dibangunkan dengan kerjasama sektor awam dan swasta. Input dan pandangan dari semua pihak akan membolehkan pewujudan indeks yang mampu berfungsi sebagai komponen nilai tambah di dalam memperkasakan rangka kerja integriti dan tadbir urus organisasi,” katanya.

Menurut Azmin, ia sejajar impian Malaysia Baharu sebagai sebuah negara yang dibina di atas landasan integriti dan tadbir urus yang tinggi.

“Kemajuan sesebuah negara bukan sahaja diukur dari prestasi ekonomi sahaja tetapi juga keupayaan membina sebuah masyarakat yang berintegriti, adil dan berpegang kepada jati diri dan nilai yang murni,” ujarnya. – MalaysiaGazette