Penunjuk perasaan melakukan protes menuntut pembebasan Jamal Khashoggi di depan Pejabat Konsulat Arab Saudi di Turki pada Oktober 2018. foto CTV News

DUBAI – Pendakwa Raya Arab Saudi mencadangkan hukuman mati ke atas lima suspek yang didakwa mengarahkan pembunuhan wartawan, Jamal Khashoggi.

Saud al-Mojeb memberitahu wartawan pada sidang media di Riyadh bahawa pembunuh Khashoggi telah merancang pembunuhan itu pada 29 September, tiga hari sebelum beliau dibunuh dalam konsulat Arab Saudi di Istanbul.

Pendawa raya itu berkata, pegawai kanan di belakang pembunuhan tersebut ialah bekas Timbalan Ketua Perisikan Arab Saudi, Ahmad al-Assiri yang telah dipecat kerana mengeluarkan arahan memaksa Khashoggi pulang, lapor AP.

Al-Mojeb berkata, seramai 21 orang kini ditahan, yang mana 11 orang akan didakwa dan dirujuk untuk dibicarakan.

Turki menyalahkan pemerintah tertinggi Arab Saudi di atas pembunuhan kejam Khashoggi, dengan menyatakan negara itu menghantar skuad pembunuh. – Agensi