Faiz Fadzil
Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengalu-alukan perbahasan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat semalam, yang merayu kerajaan Pakatan Harapan (PH) membantu golongan nelayan.

Pengerusinya, Faiz Fadzil berkata, beliau menyokong penuh keprihatinan Ketua Umum PKR itu yang melihat pengurangan peruntukan kepada nelayan boleh memberikan kesan kepada golongan itu.

Ini kerana katanya, kebanyakan nelayan adalah kelompok yang dikategorikan B40 dan kerja mereka bergantung kepada cuaca, keadaan laut dan sebagainya.

Di samping itu, jelas beliau, peruntukan seperti itu penting ditingkatkan bagi merangsang komitmen nelayan dalam usaha meningkatkan bekalan ikan tempatan yang mencukupi.

“Dalam Belanjawan 2019 yang diumumkan baru-baru ini, Elaun Sara Hidup Nelayan dan Insentif Hasil Tangkapan Nelayan telah dikurangkan sebanyak 62.4 peratus kepada RM98.5 juta, berbanding RM262 juta dalam Bajet 2018 yang lalu.

“Bagi Elaun Sara Hidup Nelayan pula, peruntukannya telah dikurangkan sebanyak 72 peratus kepada RM3.5 juta, berbanding RM12.5 juta dalam Bajet 2018.

“Pengurangan peruntukan ini dikhuatiri boleh memberikan kesan kepada nelayan khususnya bagi menghadapi kos sara hidup yang masih lagi tinggi,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.

Justeru, menurut Faiz, LKIM dan Kementerian Pertanian dan Asas Tani perlu menstruktur semula jumlah insentif itu.

Katanya, sungguhpun pengurangan peruntukan itu disebabkan kekangan kewangan negara yang meruncing akibat bebanan hutang tinggi ditinggalkan rejim Barisan Nasional (BN), usaha Menteri, Datuk Salahuddin Ayub telah berjaya menyakinkan kerajaan untuk meneruskan peruntukan insentif itu.

“Bagi memastikan pemberian insentif ini diberikan kepada golongan sasar nelayan tulen, maka LKIM akan meneruskan proses pemutihan supaya ketirisan dan salahguna insentif berkenaan dapat dikekang dan seterusnya memberi manfaat kepada nelayan keseluruhannya.

“Saya merayu kerajaan mengambil perhatian serius rayuan Anwar itu agar melihat kembali peruntukan yang diberikan kepada nelayan.

“Visi saya adalah untuk memajukan nelayan dan seterusnya matlamat mendaya saingkan perikanan dapat dicapai melalui pembelaan kerajaan terhadap golongan ini,” katanya.

Kata Faiz, beliau juga akan memastikan sosioekonomi nelayan dapat ditingkatkan lagi bagi mendorong mereka untuk terus membantu kerajaan meningkatkan tahap sara diri (SSL) bagi makanan. – MalaysiaGazette