Ezam Mohd Nor
Ezam Mohd Nor

KUALA LUMPUR – Pengerusi Hisbah Malaysia, Datuk Mohamed Ezam Mohd. Nor menempelak kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy berhubung ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Menurut Ezam, Waytha nyata tidak memahami kandungan serta makna Perkara 153 yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Menteri ini tak faham kedudukan, makna dan nilai Perkara 153 Perlembagaan.

“Perkara 153 adalah asas Perlembagaan negara ini. Asas Perlembagaan lebih besar dari sebuah kerajaan yang boleh bertukar setiap 5 tahun,” katanya dalam Twitter beliau hari ini.

Bekas Ketua Angkatan Muda (AMK) PKR itu mengulas kenyataan Waytha bahawa Pakatan Harapan (PH) memberi jaminan bahawa Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tidak akan dimansuhkan meskipun negara meratifikasi ICERD.

Mengulas lanjut, Waytha harus berhenti daripada terus memegang jawatan Menteri kerana tidak tahu bahawa ICERD adalah sesuatu yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Macam mana sebuah kerajaan yang tidak kekal boleh beri jaminan kepada asas perlembagaan yang kekal sifatnya.

“Berhentilah jadi Menteri. ICERD bercanggah dengan perkara asas perlembagaan negara ini. Makanya ditolak sahaja. Tidak perlu bincang,” katanya.

Jaminan itu dinyatakan beliau pada persidangan Dewan Rakyat, ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) awal hari ini.

Perkara 153 jelas menyatakan bahawa konsep kuota untuk melindungi kepentingan orang Melayu serta pribumi Sabah dan Sarawak bagi kemasukan ke dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam.

Waytha Moorthy berkata, kerajaan akan mengadakan rundingan berhubung ICERD bagi mendapatkan pandangan perundangan dari dalam dan luar negara, serta pendapat intelektual masyarakat.

Untuk rekod, konsultasi ke arah itu akan diadakan pada suku pertama 2019. – MalaysiaGazette