Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (tengah) bersama Pengerusi AKPK, Anuar Mohd Hassan (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir merasmikan Buku Laporan Kaji Selidik Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit pada Simposium Financial Behavior For Quality Lifetime di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 15 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Empat faktor utama rakyat Malaysia berusia antara 18 hingga 44 tahun diisytiharkan muflis sejak lima tahun lalu ialah gagal menjelaskan pinjaman kenderaan, pinjaman peribadi, perumahan dan perniagaan.

Bagaimanapun, menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, daripada seramai 64,632 rakyat yang muflis dari 2013 hingga akhir Disember 2017, jumlah itu berkurangan kepada 13,338 orang dari Januari hingga September lalu.

Katanya, beliau gembira dengan aliran jumlah yang menurun sebanyak 2.3 peratus itu bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini, berbanding 2.86 peratus dalam tempoh sama lima tahun lalu.

“Menurut Jabatan Insolvensi, sehingga September lalu, seramai 13, 338 rakyat Malaysia yang masih dalam kategori muflis.

“Namun, jumlah itu dilihat menurun sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini, yang mana majoriti daripadanya adalah peminjam kad kredit, selain pinjaman kenderaan, pinjaman peribadi, perumahan dan perniagaan,” katanya berucap pada Simposium Celik Kewangan anjuran Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di sebuah hotel di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi AKPK, Anuar Mohd Hassan, dan Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir.

Menurut Dr Wan Azizah, berdasarkan statistik itu juga, beliau bimbang tahap pembiayaan peribadi agak tinggi dengan jumlah terkumpul sebanyak 4.47 peratus pada suku ketiga tahun ini.

Ini katanya, hampir dua kali ganda dengan peminjam tertunggak kad kredit.

MGF15112018_AKPK_10
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berucap pada perasmian Simposium Financial Behavior For Quality Lifetime di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 15 NOVEMBER 2018.

“Saya dimaklumkan, pembiayaan peribadi adalah jalan keluar bagi ramai rakyat Malaysia berbanding kad kredit.

“Ini sebabkan penawaran kadar faedah yang rendah dari institusi kewangan terhadap pinjaman peribadi berbanding kad kredit. Masalah ini sebenarnya bukan penyelesaian kepada isu muflis,” ujarnya.

Beliau meminta orang ramai agar lebih berdisiplin dalam menguruskan kewangan masing-masing dan tidak membuat pinjaman berganda dengan alasan untuk menjelaskan hutang.

Tanpa disiplin kewangan yang betul, kata beliau, sesetengah peminjam akan terperangkap dengan tindakannya meminjam kali kedua untuk kononnya membayar ansuran hutang sebelum ini.

Dr Wan Azizah turut menyarankan kepada ibu bapa agar mendidik anak mereka yang meningkat dewasa mengenai pengurusan kewangan yang baik supaya tidak terjebak pinjaman.

“Belia adalah masa depan kita. Amat penting bagi agensi AKPK menjalankan program literasi kewangan kepada ibu bapa mengenai cara untuk menguruskan kewangan yang betul di kalangan anak mereka.

“Saya percaya disiplin kewangan bermula di rumah. Ibu bapa mempunyai peranan penting dalam mendidik anak mereka mengenai disiplin kewangan,” katanya.

Beliau turut memuji usaha beberapa badan bukan kerajaan yang menganjurkan program literasi kewangan di sekolah dengan tujuan mengajar kanak-kanak untuk membezakan antara keperluan dan keinginan serta kriteria yang mempengaruhi kuasa berbelanja seseorang.

“Inisiatif seperti ini harus dipuji dan saya harap lebih banyak program literasi kewangan akan dijalankan kepada anak-anak sekolah,” katanya. – MalaysiaGazette