P. Waytha Moorthy
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial), Senator P. Waytha Moorthy bercakap kepada media ketika menghadiri Mesyuarat Unit Pembangunan Sosioekonomi bagi Masyarakat India (SEDIC) di Hotel Dynasty, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 27 OKTOBER 2018.

PUTRAJAYA – Kerajaan akan mengadakan siri dialog dan perbincangan dengan pelbagai lapisan masyarakat bermula Januari depan untuk mendapatkan pandangan mengenai Konvensyen  Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Nasional dan Kesejahteraan Sosial), Senator P.Waytha Moorthy berkata, sesi itu akan diadakan di setiap negeri bagi membolehkan keputusan mengenai ICERD dibuat.

Katanya, setakat ini belum ada sebarang keputusan mengenai ICERD dimuktamadkan.

“Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) sudah komited dan memaklumkan kepada saya bahawa dia akan melibatkan semua pihak berkepentingan dalam proses membuat keputusan.

“Kemudian kesemua pandangan dan maklumbalas awam itu akan dikumpul dan diserahkan kepada kerajaan dan Kabinet akan menentukan tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas merasmikan Persidangan Konvensyen METTA 2018 yang melibatkan pemimpin agama Islam, Hindu, Buddha, Sikhism, Kristian di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Sementara itu,Pengasas Hindraf itu berkata, kerajaan tidak menetapkan tempoh masa untk mengumpul pandangan masyarakat.

“Saya perlu jelas dalam hal ini kerana sebelum ini kenyataan saya telah disalahtafsir dalam soal ini, maka saya ingin tekankan sekali lagi bahawa tidak ada sebarang tempoh masa ditetapkan oleh kerajaan dalam perkara ini,” ujar beliau.

Sebelum ini Waytha Moorthy menegaskan, kerajaan komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama tahun depan.

Dalam pada itu, petisyen bantahan ICERD terus mendapat sambutan.

Setakat pukul 4.55 petang hari ini sebanyak 129,254 tandatangan berjaya dikumpul untuk petisyen yang diusahakan peguam, Lukman Sheriff dalam laman Facebook.

Petisyen itu mensasarkan 150,000 tandatangan pada akhir November ini.- MalaysiaGazette