Mohd Khairul Amin
Wakil Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis, Mohd Khairul Amin berbahas pada Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2018 di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 16 NOVEMBER 2018

SHAH ALAM – Kebimbangan jelas terbayang pada perwakilan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dengan kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Mereka bimbang pemimpin PKR akan lupa diri dengan keenakan kerusi empuk di pejabat dan menikmati kereta mewah sepanjang masa sehingga lupa kepada rakyat yang memberi kemenangan kepada PH.

Hal itu disuarakan Perwakilan AMK Perlis, Mohd Khairul Amin, yang mengingatkan pemimpin PKR bahawa kemenangan mereka sehingga dapat menawan Putrajaya adalah kerana kuasa rakyat.

“Saya bimbang kalau kita alpa, lupa diri dan langsung tidak mempedulikan rakyat, tidak mustahil dengan kuasa rakyat juga kita boleh dijatuhkan,” katanya ketika membahaskan menyokong Ucapan Dasar Ketua AMK pada Kongres Keadilan 2018 di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC) di sini, hari ini.

Menurut Mohd Khairul, selain kuasa rakyat, kemenangan PH keseluruhannya adalah hasil daripada gabungan parti komponennya seperti DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN).

Kata beliau, kemenangan itu boleh dibanggakan kerana dapat menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lebih 60 tahun memerintah kerajaan.

Bagaimanapun, ujarnya, jika kerajaan baharu ini mengabaikan rakyat, tidak menunaikan janji seperti terkandung dalam manifesto, tidak mustahil PH boleh ditumbangkan.

“Kekalahan BN pada PRU14 lalu membuktikan kuasa rakyat tidak boleh sekali-kali dipermainkan.

“Kita menang bukan kerana PKR kuat, DAP kuat, PPBM kuat dan PAN kuat. Kita menang kerana rakyat tidak sanggup menanggung kos sara hidup yang tinggi dan membebankan di zaman BN.

Oleh itu, katanya, kerajaan PH harus peka dengan suara anak muda yang sanggup menolak kerajaan BN sebelum ini hanya kerana PH yang ketika itu adalah pembangkang telah menjanjikan untuk meringankan beban mereka. -MalaysiaGazette