Azhar Azizan Harun
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun bercakap kepada media pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.132 Port Dickson di Sekolah Kebangsaan Port Dickson, Port Dickson, Negeri Sembilan. foto SYAFIQ AMBAK, 13 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akur dengan keputusan Mahkamah Pilihan Raya di Seremban yang mengisytiharkan kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu sebagai batal dan tidak sah.

Justeru itu, menurut pengerusinya, Azhar Azizan Harun, badan itu kini menunggu keputusan rayuan Mohamad Hasan sekiranya beliau bertindak untuk berbuat demikian.

“Pilihan Raya Kecil (PRK) hanya akan diadakan sekiranya tiada rayuan atau proses rayuan di Mahkamah Persekutuan telah selesai sepenuhnya.

“Di bawah undang-undang, SPR hendaklah mengisi kekosongan kerusi tersebut dalam tempoh 60 hari dari tarikh ia menerima perakuan tersebut.

“Buat masa ini, SPR perlu menunggu perakuan keputusan Mahkamah Pilihan Raya atau sehingga tempoh 14 hari untuk rayuan tamat bagi tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hakim Datuk Azimah Omar membuat keputusan itu awal pagi ini selepas berpuas hati dengan hujah barisan peguam pempetisyen Dr S. Streram dan peguam responden, yang berlangsung selama 12 hari melibatkan 19 saksi perbicaraan.

Pada 28 April lepas, Mohamad diumumkan menang tanpa bertanding kerusi DUN Rantau selepas Dr Streram yang mewakili PKR dilarang masuk ke pusat penamaan calon ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan SPR.

Berikutan itu, pada 23 Mei lalu, beliau memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon PRK DUN itu diadakan semula, kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.

Sementara itu, SPR akan meneliti alasan penghakiman Mahkamah Pilihan Raya dan akan membuat keputusan sama ada rayuan perlu dibuat ke Mahkamah Persekutuan.

“SPR sentiasa bersedia untuk menjalankan PRK sekiranya ia perlu diadakan,” ulas Azhar. -MalaysiaGazette