Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad bercakap kepada media pada Kongres Nasional Keadilan ke-13 di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 16 NOVEMBER 2018

SHAH ALAM – Ketidakhadiran Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli pada perasmian Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat malam tadi tidak perlu diperbesarkan.

Ketua AMK Pusat, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, sesiapa sahaja dalam kalangan pemimpin kanan parti tidak hadir pada perasmian persidangan itu perkara biasa.

“Rafizi juga yang kamu persoalkan, kenapa tidak tanya saya Ketua Umum (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Presiden (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) tidak datang?

“Malam tadi hanya perasmian persidangan Wanita dan AMK, bukan perasmian persidangan peringkat nasional. Dia (Rafizi) tidak datang bukan isu dan bukan persoalannya.

“Bagi saya tidak timbul soal siapa datang siapa tidak datang..itu adalah warna warni kongres kita pada kali ini,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Ucapan Dasar Ketua AMK di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC) di sini hari ini.

Kongres Wanita dan AMK Pusat dirasmikan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau yang akan menamatkan jawatan Ketua AMK Ahad ini berharap pengantinya, Dr Afif Bahardin dapat memperbaiki lagi semangat Pemuda AMK dan terus mencipta sejarah dalam menggerakkan sayap parti.

Mengenai proses pemilihan PKR 2018 yang berakhir 10 November lalu, Nik Nazmi yang memenangi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) berkata, pemilihan kali ini antara yang bersejarah kerana berlangsung ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan.

“Kita melalui proses pemilihan yang panjang dan menarik atau berwarna warni, sekarang fokus kita ialah menjadikan pasukan Anwar sebagai pasukan yang mantap. Itu fokus kita sebagai kepimpinan AMK. – MalaysiaGazette