Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahkan akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

“Saya akan pertahan kerusi DUN Rantau dalam PRK itu nanti, insha Allah,” kata Timbalan Presiden UMNO itu melalui Facebook beliau.

Mohamad turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang hadir bagi memberi sokongan kepada beliau di Mahkamah Tinggi Seremban pagi tadi.

Mahkamah Khas Pilihan Raya hari ini memutuskan bahawa kemenangan Mohamad Hasan di kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah tidak sah dan terbatal.

Hakim Datuk Azimah Omar membuat keputusan itu di sini pagi ini selepas berpuas hati dengan hujah barisan peguam pempetisyen Dr S. Streram dan peguam responden, yang berlangsung selama 12 hari melibatkan 19 saksi perbicaraan.

Pada 28 April lepas, Mohamad diumumkan menang tanpa bertanding kerusi DUN Rantau selepas Dr Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berikutan itu, pada 23 Mei lalu, Dr Streram yang juga pakar bius memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon PRK DUN itu diadakan semula, kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal. – MalaysiaGazette