KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail memberi ucapan tahniah kepada Superintendan Shafa’aton Abu Bakar kerana dilantik menjadi Ketua Polis Daerah (OCPD) wanita pertama di Selangor.

Shafa’aton, 42, berasal dari Mersing, Johor dilantik sebagai OCPD Sungai Buloh memulakan tugas semalam.

Beliau menggantikan Superintendan S. Somu yang bertukar ke Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Kuala Lumpur.

“Tahniah buat Supt Shafa’aton Abu Bakar, cipta sejarah sebagai OCPD wanita pertama di Selangor berikutan pelantikannya sebagai ketua Sungai Buloh,” katanya menerusi catatan di Twitter.

Sebelum ini, Shafa’aton adalah Pegawai Turus Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11) di Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette