Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Ucapan Penggulungan Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 30 SEPTEMBER 2018

KUALA LUMPUR – UMNO akan mencalonkan semula Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai calon parti itu untuk Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Rantau, Negeri Sembilan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tidak terkejut dengan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya hari ini berkata, perkara itu memang telah dijangkakan.

“Keputusan mahkamah untuk PRK DUN Rantau sudah dijangkakan. UMNO akan mencalonkan semula DSU Mohamad Hassan,” katanya di laman Twitter.

Menurut Ahmad Zahid, jentera Barisan Nasional akan digerakkan sepenuhnya, biarpun banyak kekangan dan halangan, kerusi Rantau mesti dipertahankan.

“Demi maruah dan kesinambungan mari UMNO/BN perkasa kesatupaduan,” katanya.

Mahkamah Khas Pilihan Raya hari ini memutuskan bahawa kemenangan Mohamad Hasan di kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah tidak sah dan terbatal.

Hakim Datuk Azimah Omar membuat keputusan itu di sini pagi ini selepas berpuas hati dengan hujah barisan peguam pempetisyen Dr S. Streram dan peguam responden, yang berlangsung selama 12 hari melibatkan 19 saksi perbicaraan.

Pada 28 April lepas, Mohamad diumumkan menang tanpa bertanding kerusi DUN Rantau selepas Dr Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berikutan itu, pada 23 Mei lalu, Dr Streram yang juga pakar bius memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon PRK DUN itu diadakan semula, kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.

Dalam petisyennya, selain Mohamad selaku responden pertama, Dr Streram turut menamakan pegawai pengurus pilihan raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agus Suyub sebagai reponden kedua; dan SPR responden ketiga. – MalaysiaGazette

Mahkamah batal kemenangan Tok Mat di DUN Rantau

Mohamad belum pasti untuk fail rayuan

UMNO lancar jentera bagi hadapi kemungkinan PRK DUN Rantau