Bekas Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin (kanan) bersama Ketua Wanita PKR yang baru, Haniza Talha dan Majlis Pimpinan Wanita Pusat PKR pada Kongres Nasional Tahunan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ke-13 2018 di IDCC Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 16 NOVEMBER 2018.

SHAH ALAM – Sayap Wanita PKR akan menghantar nama calon dari kaum itu agar dapat dipertimbangkan menjadi calon dalam pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Ketua Wanita PKR itu yang baharu diumumkan semalam, Haniza Talha akan mengemukakan calon kepada Majlis Pimpinan Pusat yang baharu bagi penggal 2018 hingga 2021 dalam mesyuarat akan datang.

Beliau berpendirian PKR perlu mengambil peluang meletakkan wakil rakyat wanita dalam kerajaan negeri itu.

“Itu insy Allah kita akan lakukan (menghantar nama calon) sebab kita pun baru tahu keputusan mahkamah jadi insyallah kita akan bangkitkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat.

“Esok akan diumumkan ahli MPP yang baharu jadi selepas itulah mesti ada bermesyuarat salah satu agenda untuk bincang calon DUN Rantau,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau berkata demikian menyokong cadangan bekas Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin semalam agar pimpinan parti meletakkan calon daripada sayap itu untuk dipertandingkan di kerusi DUN tersebut.

Namun ia ditentang oleh bekas calon di kawasan itu, Dr S.Streram yang berhasrat untuk bertanding semula.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata, Rafizi Ramli layak untuk bertanding di kerusi yang telah kosong selepas Mahkamah Tinggi Seremban mengisytiharkan kemenangan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu batal. -MalaysiaGazette