Nurainie Haziqah Shafii

SHAH ALAM – PKR tidak boleh berterusan bermimpi, syok sendiri bercakap tentang  bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Sebaliknya, kata Perwakilan PKR Selangor, Nurainie Haziqah Shafii parti itu perlu memainkan peranan untuk berusaha memastikan manifesto pada pilihan raya yang lalu dapat ditunaikan.

“Dulu, sebelum kita pegang Malaysia pegang Selangor kita boleh sebut perubahan apa yang kita nak buat sekarang rakyat nak lihat perubahan yang kita momokan itu.

“Adakah ia sudah berlaku sudah dalam perancangan kita atau adakah kita syok sendiri masih bermimpi enam bulan ini mendedahkan kebobrokan Najib dan Rosmah serta kepimpinannya tanpa berusaha memenuhi manifesto Pakatan Harapan,” katanya ketika sesi perbahasan dan menyokong ucapan dasar Presiden PKR di Pusat Konvensyen Ideal hari ini.

Jelas Nurainie Haziqah, rakyat tidak pekak dan buta untuk hanya menerima laungan mahu melakukan perubahan daripada pelbagai aspek malah sedang menilai kemampuan PKR untuk melaksanakan amanah.

“Kita tidak lagi boleh memomokan rakyat dengan politik sebab rakyat Malaysia hari ini mahukan perubahan ingin lihat perubahan. Rakyat tidak buta dan pekak,” katanya lagi. -MalaysiaGazette