Presiden Parti Amanah Negara (PAN) yang juga Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu bercakap kepada media ketika hadir pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ke-13 di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 17 NOVEMBER 2018.

SHAH ALAM – Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu mendapati prestasi menteri-menteri daripada parti itu memuaskan namun perlu ditingkatkan lagi.

Beliau yang juga merupakan Menteri Pertahanan itu bagaimanapun menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad jika merasakan perlu untuk melakukan rombakan kabinet seperti desas-desus kebelakangan ini.

“Saya tidak dengar apa-apa lagi saya pun baru dengar daripada wartawan. Terserah kepada Perdana Menteri kalau ada.

“Kita gembira terhadap prestasi menteri dan timbalan dalam kalangan Amanah tetapi kena tingkatkan lagi,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Perasmian Kongres Nasional Keadilan Ke-13 2018 di IDCC hari ini.

Sebelum ini, Mahathir dilaporkan berkata, bersikap terbuka melakukan rombakan Kabinet sekiranya menerima pencalonan baharu daripada PKR yang selesai mengadakan pemilihan parti.

Bagaimanapun Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak menerima cadangan nama dari mana-mana pihak untuk diserahkan kepada Mahathir bagi tujuan rombakan.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula menyifatkan tindakan merombak kabinet dalam kerajaan Pakatan Harapan dalam masa terdekat hanya akan membuktikan bahawa menteri yang baharu dilantik selepas parti itu mula memerintah Mei yang lalu tidak berwibawa. – MalaysiaGazette