Ketua Cawangan (Ekuiti) Bahagian Pelaburan SOCSO, Mohamad Damshal Awang Damit bercakap kepada media pada Persidangan Peneraju Profesional Kewangan, Perbankan dan Pelaburan 2018 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 17 NOVEMBER 2018

BANGI- Pasaran modal dan kewangan tempatan membosankan kerana terlalu dikuasai oleh syarikat-syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) yang terpaksa melaksanakan mandat dengan melabur dalam pelaburan konservatif.

Ketua Ekuiti dan Pendapatan Tetap Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), M. Damshal Awang Damit berkata, ekosistem sepatutnya berubah kepada ekonomi sebenar seperti pelaburan dalam pembuatan enjin, cip, pertanian, teknologi agro dan sebagainya melalui modal ekuiti swasta, modal teroka atau pendanaan awam mahupun angel investors.

“Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia adalah sebanyak RM1.5 trilion tetapi RM1.4 trilion adalah milik GLIC.

“GLIC ini mempunyai mandat pelaburan yang konservatif serta berisiko rendah dan mereka perlu memastikan pembayaran dividen setiap tahun jadi kita tidak boleh salahkan mereka.

“Itu mandat yang telah diberikan dan mereka tidak boleh mengambil risiko tinggi.

“Disebabkan itulah, sebahagian besar daripada pelaburan di pasaran modal dan kewangan tempatan hanya terdiri daripada pelaburan berisiko rendah.

“Jadi kenapa kita tidak mengubah ekosistem tersebut dengan menggalakkan pemilikan ekuiti swasta, firma modal teroka malah pendanaan awam sebagai sumber mendapatkan modal.

“Ini kerana mereka mampu mengambil risiko besar dan ini selari dengan prinsip keusahawanan iaitu berani mengambil risiko.

“Ketika ini memang ada usahawan-usahawan kecil dan sederhana memasuki pasaran modal tetapi melalui bank-bank. Jarang-jarang berlaku pembiayaan melalui alternatif-alternatif lain yang saya sebutkan tadi,” katanya kepada pemberita selepas menjadi panelis perbincangan meja bulat bertajuk Perang Perdagangan : Pihak yang Menang dan Pihak yang Kalah di UKM hari ini.

Ketika perbincangan meja bulat yang turut menampilkan Pengarah Eksekutif Pelaburan dan Ketua Penyelidikan dan Strategi Pelaburan Khazanah Nasional Bhd., Datuk Hisham Hamdan bersetuju mengatakan pasaran tempatan adalah “boring” dan hanya mengikut trend pasaran luar.

Bagaimanapun, Damshal optimis ekosistem pasaran tempatan akan berubah seiring dengan masa dan tidak hanya bergantung kepada pelaburan GLIC sahaja.-MalaysiaGazette