Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail memberi Ucapan Dasar Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ke-13 di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 17 NOVEMBER 2018.

SHAH ALAM – Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengingatkan pendukung parti selepasnya agar terus menggenggam idealisme dan agenda reformasi yang menjadi perjuangan parti itu sejak ditubuhkan kira-kira 20 tahun lalu.

Beliau berkata, PKR adalah parti reformasi dan seluruh pemimpin serta ahlinya adalah reformis yang berjuang membela yang hak dan menentang yang batil.

“Kita tentang kemungkaran dan kita mengajak kepada kebaikan. Kita lawan kezaliman dan kita tegakkan keadilan, kita bela mereka yang lemah dan kita santuni mereka yang gagah.

“Kita parti yang lahir dari perjuangan, keringat dan air mata rakyat di jalanan, kita bukan lahir dengan hamparan permaidani indah.

“Tiada tokoh besar menyertai kita di era awal perjuangan reformasi namun kita tetap gagah berjuang kerana kuatnya keyakinan kepada agenda perjuangan,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Kongres Nasional Keadilan 2018 di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam hari ini.

Hadir sama, Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; dan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu.

Menurut Wan Azizah, kepimpinan sedia ada dan yang baharu dipilih pada Pemilihan Keadilan 2018 agar tidak sekali-kali meremehkan agenda reformasi kerana perjuangan tanpa idealisme boleh memusnahkan parti.

Katanya, asas perjuangan PKR bukan kerana manusia, pangkat dan harta sebaliknya dengan kebaikan.

“Ingatlah ada mata yang memerhati setiap tingkah dan laku kita, dalam gelap dan terang. Pemimpin yang baik adalah yang paling takutkan sumpahan rakyat dan bencikan maksiat.

“Kita berjuang kerana kebenaran dan keadilan, tiap titik peluh yang mengalir, tiap sen yang dibelanja, tiap saat yang kita korbankan untuk perjuangan hanyalah kerana idealisme perjuangan, bukan kerana pemimpin tertentu, pangkat, kedudukan atau harta benda.

“Justeru, kita tidak perlu takut kepada sesiapa selain Allah. Kita berjuang demi kebenaran dan keadilan, kita hanya akan menjawab dihadapan Allah atas apa yang kita perjuangkan,” katanya.

Dalam ucapannya juga, beliau menekankan betapa kepimpinan parti supaya terus mengiktiraf dan menghargai para reformis yang berjuang sejak tahun 1998.

Katanya, ada antara mereka kehilangan pekerjaan akibat dibuang dan dipecat, selain jatuh bangkrap akibat gagal membayar hutang bagi membiayai perjuangan dan yang cedera dipukul, dihina, dicaci, disiksa di lokap, dipenjara serta pelbagai penderitaan yang dilalui lagi.

“Namun, mereka tegar berdiri menyatakan yang hak kepada pemimpin yang rakus dan zalim. Ramai juga yang telah pergi meninggalkan kita dijemput Ilahi,” katanya sambil mengesat air mata.

Wan Azizah agak emosi ketika menyampaikan ucapannya terutama menyentuh mengenai perjuangan parti itu selama 20 tahun dan hari ini merupakan hari terakhir beliau sebagai Presiden PKR. – MalaysiaGazette