Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (dua kanan) menyampaikan sijil kepada peserta terbaik Akademik, Mohd Khairol Mohd Bakri (kiri) pada Penyampaian Sijil Tamat Kursus Latihan Asas Kadet Inspektor dan kadet Sarjan Siri 1/2018 di Dataran Kawad, Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 17 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Peningkatan mendadak sejak lima tahun kebelakangan ini berhubung trend anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersara awal daripada waktunya amat membimbangkan.

Malah apa lebih merunsingkan antara punca tindakan anggota meninggalkan kerjaya tersebut termasuk tekanan kerja yang sehingga kini belum ada jalan penyelesaian terbaik menanganinya.

MGF17112018_TAMAT KURSUS ASAS26
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bercakap pada Penyampaian Sijil Tamat Kursus Latihan Asas Kadet Inspektor dan kadet Sarjan Siri 1/2018 di Dataran Kawad, Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 17 NOVEMBER 2018

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang melahirkan kebimbangan itu berkata, pihaknya kini sedang melakukan kajian bagi mencari jalan keluar agar trend peningkatan persaraan dalam kalangan anggota polis dapat dikurangkan.

Jelasnya, hampir 5,000 anggota akan memilih untuk bersara awal atau bersara wajib dan dikhuatiri ia terus meningkat setiap tahun.

“Saya sendiri mendapat maklumat ada ramai dalam kalangan pegawai kita yang memohon untuk bersara lebih awal. Sudah tentu ada pelbagai sebab seperti isu keluarga, kesihatan serta logistik yang lain-lain. Itu yang kelazimannya.

“Bagaimanapun, apa yang lebih saya bimbangkan sebenarnya, ada juga yang bersara lebih awal dari dunia kepolisan ini kerana tekanan kerja, saya tidak pasti mengapa ianya berlaku dan kajian secara komprehensif sedang dilakukan dan bagaimana kita mahu tanganinya pada masa hadapan,” katanya.

MGF17112018_TAMAT KURSUS ASAS13
Sebahagian anggota polis melakukan pembarisan pada Penyampaian Sijil Tamat Kursus Latihan Asas Kadet Inspektor dan kadet Sarjan Siri 1/2018 di Dataran Kawad, Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 17 NOVEMBER 2018

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan upacara perbarisan dan penyampaian tamat kursus asas Kadet Inspektor dan Kadet Sarjan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini hari ini.

Seramai 248 kadet inspektor dan 146 kadet sarjan menamatkan kursus asas mereka yang memakan masa sehingga sembilan bulan berakhir hari ini.

Mohamad Fuzi menambah, PDRM terpaksa mengimbangi persaraan polis dengan meningkatkan keperluan untuk mengambil lebih banyak anggota bagi mengisi kekosongan terbabit.

“Kita akan melihat permasalahan ini dan kita jangkakan akan mengambil lebih 7,000 pegawai-pegawai baharu bermula tahun depan bagi mengisi kekosongan tersebut,” ujarnya.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis tersebut, Mohd. Fuzi melahirkan rasa dukacita beliau apabila kejayaan yang diperoleh dicemari oleh pelbagai noda berpunca daripada segelintir warga PDRM sendiri.

“Isu-isu seperti rasuah, salah guna kuasa, dadah serta kegiatan jenayah lain dalam kalangan warga PDRM semakin menjadi-jadi dan tidak seharusnya berlaku.

“Kita merupakan pasukan yang sebenarnya berperanan sebagai agensi penguatkuasa undang-undang yang utama di negara ini dan bukan sebaliknya.

“Saya mohon kepada semua khasnya yang baru sahaja tamat kursus ini supaya menjauhi diri daripada segala gejala sosial serta melanggar perintah pasukan dan undang-undang. Kita perlu sentiasa berkorban jiwa raga kerana itu adalah sumpah keramat Panji Sang Saka Biru,” tegasnya. – MalaysiaGazette