Presiden PKR baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ke-13 di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK 18 NOVEMBER 2018.

SHAH ALAM – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai barisan Majlis Pimpinan Pusat PKR bagi penggal 2018 hingga 2021.

Beliau terpilih sebagai Presiden PKR selepas menang tanpa bertanding dalam penamaan calon pemilihan parti itu baru baru ini.

Manakala Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berjaya terpilih sebagai Timbalan Presiden parti.

Beliau berjaya mempertahankan jawatan itu selepas menerima tentangan sengit daripada bekas Naib Presiden, Rafizi Ramli.

Selain itu Nurul Izzah Anwar, Zuraida Kamaruddin, Tian Chua dan Dr. Xavier Jayakumar terpilih sebagai Naib Presiden parti itu bagi tiga tahun akan datang.

Xavier bagaimanapun tidak muncul oleh kerana berada di luar negara atas urusan rasmi kerajaan.

Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sivarasa Rasiah berjaya terpilih sebagai ahli MPP PKR.

Turut tersenarai dalam kelompok 20 ahli MPP ialah Nik Nazmi Nik Ahmad Elizabeth Wong, Datuk Saifuddin Abdullah (Menteri Luar) dan Amiruddin Shari (Menteri Besar Selangor).

Haniza Talha terpilih sebagai Ketua Wanita Keadilan dan Daroyah Alwi pula terpilih sebagai Timbalan Ketua Wanita manakala Akmal Nasir diangkat sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan dan Hilman Idham sebagai AMK.

Kesemua keputusan itu diumumkan secara rasmi oleh Pengerusi Tetap PKR Datuk Ahmad Kassim di Kongres Nasional PKR Ke-13 di IDCC. – MalaysiaGazette