ringgitHarga saham di Bursa Malaysia tinggi semasa dibuka hari ini, didorong beberapa sokongan belian dalam saham wajaran tinggi terpilih walaupun pasaran saham Asia mencatatkan prestasi bercampur-campur.
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka kekal tidak berubah dalam dagangan lengang minggu depan, berikutan cuti umum pada Selasa depan sempena sambutan Maulidur Rasul.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd, Kenny Yee berkata, aktiviti pengambilan untung turut dijangka berlaku susulan peningkatan baru-baru ini di bursa tempatan, membawa kepada petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) diniagakan antara 1,690 dan 1,710 mata minggu depan.

“Bursa Malaysia dijangka disokong oleh ringgit yang lemah berbanding dolar US, berikutan ia akan menjadikan saham tempatan lebih menarik kepada pelabur asing,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Yee berkata pasaran saham tempatan akan turut dipengaruhi oleh faktor luaran seperti harga minyak mentah dan prestasi Wall Street.

Sementara itu, beliau turut menolak kemungkinan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku ketiga perlahan, selain keputusan pendapatan korporat, memberi implikasi kepada prestasi bursa tempatan.

“Peserta pasaran telah menjangkanya,” katanya.

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan KDNK Malaysia berkembang 4.4 peratus pada suku ketiga 2018 berbanding 6.2 peratus dalam tempoh sama tahun lepas, didorong oleh penggunaan swasta yang kukuh susulan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar pada suku tahun tersebut.

Menurut Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, KDNK negara meningkat sebanyak 4.7 peratus dalam tempoh tiga suku tahun pertama, dan dijangka mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.8 peratus pada 2018.

Bagi minggu baru berakhir, Bursa Malaysia diniagakan rendah untuk dua hari pertama tetapi meningkat semula kemudiannya berikutan aktiviti belian semasa harga rendah dan harga minyak mentah yang kukuh.

Pasaran saham tempatan dipengaruhi oleh prestasi Wall Street dan pasaran serantau, selain ringgit yang rendah dan harga minyak sawit mentah (MSM).

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, petunjuk pasaran FBM KLCI ditutup 1.71 mata lebih rendah kepada 1,706.38.

Indeks FBM Emas meningkat 21.80 mata kepada 11,868.06, Indeks FBMT100 naik 29.22 mata kepada 11,717.35, bagaimanapun Indeks FBM Emas Shariah merosot 55.89 mata kepada 11,955.80.

FBM 70 menokok 142.71 mata kepada 13,988.70, manakala FBM Ace naik 12.52 mata kepada 4,945.12.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan melonjak 102.57 mata kepada 17,301.67, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.71 mata kepada 174.01 manakala Indeks Perladangan susut 106.09 mata kepada 7,256.64.

Berbanding Jumaat kepada Jumaat, jumlah dagangan mingguan naik kepada 8.08 bilion unit bernilai RM7.62 bilion daripada 6.26 bilion unit bernilai RM6.59 bilion.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 5.06 bilion saham bernilai RM6.81 bilion berbanding 4.09 bilion saham bernilai RM6.12 bilion pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan waran naik kepada 1.56 bilion unit bernilai RM398.12 bilion berbanding 1.07 bilion unit bernilai RM263.87 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 1.45 bilion saham bernilai RM406.14 bilion berbanding 917.68 juta saham bernilai RM205.37 juta.

Pasaran akan ditutup pada Selasa depan berikutan cuti sempena sambutan Maulidur Rasul. – MalaysiaGazette